Home Politik Tidak tukar alamat, undi Muhyiddin untuk calon Pas

Tidak tukar alamat, undi Muhyiddin untuk calon Pas

Antara penyokong yang hadir mengibarkan bendera Perikatan Nasional pada Majlis Pekenalkan Calon PN sempena Pilihan Raya Negeri Johor 2022 di Dewan Kencanapuri, Pulia Springs Resort Johor Bharu. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 FEBRUARI 2022.

MUAR – Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mohd Solihan Badri nampaknya sudah kehilangan satu undi apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak membuang undi di situ.

Muhyiddin berkata, beliau tidak menukar alamat mengundi ke DUN Gambir pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Saya ada satu undi tapi saya undi di Bandar Maharani,  saya tidak tukar alamat mengundi tapi saya bagilah kepada siapa (calon PN) di Maharani, Pas agaknya (yang letak calon) calon Pas itu akandapat satu undi daripada saya.

“Itu saya boleh janji tidak ada rahsia dah, sebab kita nak tentukan kemenangan kita,” katanya dalam ceramah umum di Parit Jawa, malam tadi.

Sebelum ini, Muhyiddin kekal di DUN Gambir apabila memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M Asojan serta calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pada PRU14 lalu.

Muhyiddin pada 25 Januari lalu memaklumkan beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Gambir yang disandangnya sebelum ini pada PRN Johor, 12 Mac depan.

Kelmarin, Muhyiddin mengumumkan 56 calon bagi gabungan itu pada PRN kali ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kesemua 56 calon yang ditampilkan terdiri daripada golongan muda, berpengalaman, berpendidikan dan profesional serta mampu memikat hati pengundi Johor.

PN mengumumkan Bersatu meletakkan calon di 33 kerusi sementara Pas 15 calon dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pula mempertaruhkan calon di lapan kerusi.

Katanya, daripada jumlah itu 41 calon muka baharu manakala 15 lagi bertanding semula dengan 19 calon berusia bawah 40 tahun.

Dalam pada itu, Mohd Solihan Badri menyifatkan tanggungjawab menggantikan Muhyiddin di DUN Gambir adalah satu tanggungjawab besar yang perlu diteruskan demi rakyat Johor.

“Saya rasa di mana pun kita bertanding, ia adalah cabaran kepada saya jadi saya akan bekerja keras agar pengundi DUN Gambir tidak hampa dengan calon yang akan datang.

“Beliau (Muhyiddin) telah meninggalkan bekas (khidmat) yang baik, kita akan perbaiki dan saya harap pengundi di DUN Gambir dapat beri kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat,” kata anak tempatan Muar itu.

Solihan merupakan bekas ADUN Tenang dan merupakan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad. – MalaysiaGazette