Home Sukan TMJ tinggalkan JDT jika kalah Piala Sumbangsih?

TMJ tinggalkan JDT jika kalah Piala Sumbangsih?

Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) memberi bayangan baginda sedia melepaskan kelab itu dan tidak terlibat langsung dengan bola sepak negara.

TMJ berkata, keputusan akan diambil sekiranya JDT tewas dalam perlawanan esok, katany menerusi satu hantaran di Instagram hari ini.

JDT dijadualkan bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan merebut Piala Sumbangsih 2022 yang menjadi pembuka tirai kepada saingan Liga Malaysia musim ini.

“Jikalau kalah esok, saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya dan tidak akan terlibat lagi dengan apa apa aktiviti bola sepak dalam negara,” tulisnya.

Sejak mengambil alih bola sepak di Johor, Tunku Ismail berjaya membawa JDT membolot pelbagai kejuaraan termasuk lapan kejuaraan Liga Super Malaysia (MSL) iaitu rekod yang sukar digugat mana-mana kelab di dalam negara setakat ini.

Kejuaraan paling diingati apabila JDT muncul juara Piala AFC pada 2015, menjadikan ia satu-satunya pasukan yang pernah berbuat demikian dari rantau ini.

TMJ turut komited memperluaskan jenama JDT sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.

Untuk memperkuatkan saingan pasukan pada musim 2022, JDT telah membawa masuk beberapa pemain baharu.

Antaranya bekas penyerang Udinese dan Watford, Fernando Forestieri; dan pemain sayap daripada Mali, Moussa Sidibé.Turut dipancing menyertai skuad Harimau Selatan untuk saingan musim baharu adalah penjaring terbanyak Piala AFF 2020 dari Filipna, Bienvenido Maranon dan juga bek kanan kebangsaan Syahmi Safari. – MalaysiaGazette