KUALA LUMPUR – Para pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diminta membuat penentuan dengan memilih pemimpin yang benar-benar berintegriti serta menolak segala kemungkaran.
Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz berkata, untuk merealisasikan langkah itu menjadi satu realiti, para pengundi hendaklah keluar beramai-ramai untuk membuang undi.
Jelasnya, kesempatan keluar mengundi itu jangan dilepaskan dan pengundi perlu menggunakan peluang yang ada bagi menyatakan inspirasi mereka dengan menolak apa jua kemungkaran.
Tambahnya, para pengundi juga jangan melepaskan hak serta peluang yang ada bagi memilih kerajaan negeri yang stabil serta berintegriti.
“Pengundi mesti tahu mana yang benar dan yang salah. Tolak kemungkaran. Pilihlah pemimpin yang berintegriti. Untuk itu gunakan kesempatan yang ada dengan keluar mengundi.
“Jangan nanti selepas selesai PRN, barulah nak lahirkan rasa sesal kerana tidak keluar mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata, rakyat juga harus tahu menilai seseorang pemimpin itu sebelum membuat pilihan.
Menurutnya, berlapang dadalah apabila memilih pemimpin dalam PRN Johor. Jelasnya, janganlah disebabkan mendapat sedikit ‘imbuhan’ maka ada segelintir yang sanggup mengetepikan prinsip diri dengan memilih pemimpin tidak berintegriti.
“Pengundi harus berani tolak kemungkaran. Juga tolak mana-mana pemimpin yang bersengkokol dengan kemungkaran,” katanya.
Di samping itu, kata beliau, pengundi juga harus tahu menilai seseorang pemimpin itu dan yang paling penting ialah pemimpin yang sentiasa membela nasib rakyat.
“Pilihlah pemimpin yang mengutamakan kebajikan rakyat dan dapat menyelesaikan masalah rakyat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette