Home Politik Calon PN, MUDA mahu perjuang isu pembangunan, ekonomi Larkin

Calon PN, MUDA mahu perjuang isu pembangunan, ekonomi Larkin

Zulkifli Bujang

JOHOR BAHRU – Calon-calon yang disahkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin akan mengerakkan misi dan strategi masing-masing mulai hari ini.

Dua dari lima calon di Larkin ini enggan lagi melengahkan masa sebaliknya mahu menggunakan tempoh berkempen sehabis baik.

Bagi calon dari Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Bujang berkata, beliau akan memperjuangkan hak rakyat dan penduduk di kawasan Larkin termasuklah dari segi ekonomi dan pendidikan.

Bekas wartawan ini menambah, pengalamannya dalam sektor kerajaan, memberikan beliau keyakinan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk DUN tersebut.

‘Saya akan memberi tumpuan kepada soal kestabilan politik dan pendidikan bagi golongan belia. Selain itu, soal-soal kebajikan rakyat juga menjadi keutamaan saya,” katanya bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Zulkifli, 44, akan berdepan dengan empat penjuru di PRN Johor.

Sementara itu, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Rasid Abu Bakar juga mahu menumpukan isu-isu pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan yang membelenggu penduduk DUN tersebut.

Ia terutama isus-isu melibatkan penduduk rumah-rumah pangsa.

”Isu-isu ini menjadi keutamaan saya kepada pengundi-pengundi di sini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rasid, 28, berkata, beliau mempunyai jentera untuk bersama-samanya sepanjang kempen PRN Johor.

Rasid, merupakan anak jati Johor Bahru yang mendapat pendidikan awal SK Nong Chik dan SMK Aminuddin Baki (SAB) sehingga Tingkatan 5.

Beliau adalah pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di SMK Sultan Ismail (SSI).- MalaysiaGazette