Home Politik Dr Sahruddin cukup yakin pertahan DUN Bukit Kepong

Dr Sahruddin cukup yakin pertahan DUN Bukit Kepong

PRN johor bukit kepong
Calon Perikatan Nasional (PN) N.07 Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal melambai tangan pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini melahirkan keyakinan akan mempertahankan kerusi yang dimenangi beliau pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Bekas Menteri Besar Johor Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau yakin pengundi di kawasan ini masih lagi mempercayai beliau dan mempetaruhkan khidmat bakti beliau sebagai bekas ADUN Bukit Kepong kepada pengundi-pengundi kawasan ini.

“Saya cukup yakin bahawa saya akan memenangi dan mengekalkan Bukit Kepong atas beberapa faktor pertama saya berkhidmat disini empat tahun semua masyarakat tanpa mengira latar belakang parti atau kaum semua kita bagi sama rata.

“Kedua saya berjaya membawa pembangunan di DUN Bukit Kepong dan perhubungan baik antara saya dengan Tan Sri Muhyiddin yang banyak bantu saya, mendidik saya beri tunjuk ajar memudahkan saya mudah bergerak di Bukit Kepong.

“Dengan pengalaman saya sebagai MB johor pengalMan tan sri sebagai pm saya yakin bahawa jika kami diberi amanah menerajui Johor kami akan berjaea membentuk kerajaan,” katanya selepas selesai menyerahkan borang pencalonan beliau bagi DUN Bukit Kepong.

Sahruddin ditentang tiga calon lain iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed dari Barisan Nasional; calon Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Nurafiqah M Zulkifli; dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Md Taib Md Suhut.

Ditanya sama ada beliau akan dicalonkan sebagai Menteri Besar bagi Perikatan Nasional (PN), Sahruddin dengan tenang menyerahkan nasib beliau kepada pucuk pimpinan gabungan itu berhubung isi tersebut.

Setiausaha PN Johor itu juga berkata, beliau hanyalah ahli parti dan fokus utamanya adalah bagi memenangi kerusi DUN Bukit Kepong dan Johor di peringkat negeri.

“Setakat ini belum diumumkan (calon MB PN) dan saya serahkan (nasib) kepada pucuk pimpinan untuk memilih sesiapa pun (sebagai calon MB), saya hanya ahli parti.

“Saya akan pastikan parti saya PN memenangi dahulu PRN Johor,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), Dr. Sahruddin menang dengan majoriti 1,271 undi setelah mendapat 11,665 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Noor Taib (10,392) dan calon Pas, Iqbal Razak (1,761).

Beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Johor pada 9 Mei 2018. – MalaysiaGazette