Home Nasional Nornekman kunjungi pusara ayah sebelum ke pusat penamaan calon

Nornekman kunjungi pusara ayah sebelum ke pusat penamaan calon

Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) N.47 Kempas, Nornekman Osman menziarahi pusara Allahyarham bapanya,Datuk Osman Sapian yang juga merupakan bekas Menteri Besar Johor di Tanah Perkuburan Ar Raudhah Taman Mount Austin, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Ketika ada calon-calon lain diiringi keluarga masing-masing ke tempat pencalonan masing-masing, keadaan berbeza dengan calon N47 Kempas, Nornekman Osman.

Seawal pagi tadi dia berada Tanah Perkuburan Islam Ar Raudah di Taman Mount Austin dengan mengenakan baju Melayu putih.

Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam di tanah perkuburan itu untuk membaca yassin buat bapa Allahyarham Datuk Osman Sapian, bekas Menteri Besar Johor yang meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Sebaik selesai, Nornekman yang mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bersiap sedia untuk ke pusat penamaan calon yang berlangsung di Dewan TNB, Kempas pada jam 9 pagi.

Nornekman berkata, kunjungan ke pusara ayahnya bagi mendapatkan semangat.

”Saya ke pusara arwah ayah untuk membaca yassin, dapatkan semangat. Semoga saya dapat menggalas tanggungjawab ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Nornekman Osman selepas menziarahi pusara Allahyarham bapanya,Datuk Osman Sapian yang juga merupakan bekas Menteri Besar Johor di Tanah Perkuburan Ar Raudhah Taman Mount Austin, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2022.

Katanya lagi, sebagai anak sulung kepada mantan Menteri Besar Johor, beliau juga sering terlibat dengan program-program rakyat yang diterajui oleh Allahyarham bapanya.

“Saya selalu bersama beliau untuk bersama-sama melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat. Apabila beliau sudah tiada, saya mahu meneruskan usaha-usahanya,” tambah beliau.

Allahyarham Osman merupakan bekas Menteri Besar Johor ke-16, juga bekas ADUN Kempas selama tiga penggal sejak 29 November 1999 hingga 2 April 2013 serta 11 Mei 2018 hingga 20 Disember 2021.

Pejuang Tanah Air (Pejuang) buat pertama kalinya tampil mempertaruhkan calon mereka di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi PRN Johor, 12 Mac ini.- MalaysiaGazette