Home Nasional Parti politik perlu mudahkan kerja media elak langgar SOP

Parti politik perlu mudahkan kerja media elak langgar SOP

Annuar Musa
Temubual MalaysiaGazette bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa sempena Pilihan Raya Negeri Johor di Studio MG, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Parti-parti politk disaran supaya sentiasa memudahkan kerja pengamal media ketika bertugas membuat liputan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Selain membuat jadual kempen yang teratur, parti politik juga perlu menyediakan tempat yang luas bagi media menjalankan tanggungjawab mereka.

“Tempat yang sesuai perlu disediakan untuk sebarang sidang media. Elakkan membuat liputan di kawasan yang sempit, tidak mengamalkan penjarakkan.

“Petugas media terpaksa membuat tugas mereka. Walaupun tidak disediakan tempat mereka akan jalankan kerja mereka.

“Kalau terjumpa tempat sempit, tempat sesak mereka akan buat kerja nak dapatkan berita,” kata Annuar.

Sementara itu Annuar turut menegaskan media tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang apabila melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, SOP pencegahan Covid-19 telah lama diwartakan dan semua pihak perlu menghormati undang-undang yang telah dikuatkuasakan.

Beliau mengulas mengenai dua pengamal media yang dikenakan kompaun dan diberikan amaran terakhir kerana melanggar SOP ketika membuat liputan Hari Penamaan Calon PRN Johor.

Artikel berkaitan:

Wartawan buat liputan di Larkin dikompaun RM1,000

“Tidak ada siapapun dikecualikan. Kita dengar hari itu misalnya perdana menteri kena bayar kompaun. Hari itu kita dengar menteri kuatet yang bertanggungjawab tentang SOP dikenakan kompaun.

“Pengamal media juga tidak terkecuali dan anggap perkara itu sebagai satu peringatan bahawa SOP itu perlu dilaksanakan oleh semua orang.

“Saya rasa tidak terlalu sukar untuk kita mematuhi SOP kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu,” kata Annuar.

Annuar ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Jabatan Penerangan dan bilik operasi Bernama dan MalaysiaGazette sempena PRN Johor di sini hari ini.

Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina menjadi petugas media pertama yang membuat liputan PRN Johor dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana melanggar SOP.

Wartawan berkenaan, Wan Kiang Yong, 42, dikenakan kompaun RM1,000 ketika membuat liputan penamaan calon di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru di sini, pada Sabtu.

Kompaun berkenaan dikenakan kepada wartawan itu ketika beliau sedang menemuramah seorang calon Bebas yang baharu tiba di kawasan itu untuk proses penamaan bertanding di DUN berkenaan.-MalaysiaGazette