SIMPANG RENGGAM – Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Sharuddin Md Salleh yakin mampu meraih sokongan pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N26 Machap Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor).
Pengundi yang dimaksudkan oleh Sharuddin itu termasuklah golongan generasi muda terutamanya yang baharu mendaftar Undi 18.
Sharuddin yang bertanding atas tiket parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) DUN Machap berkata, sudah tiba masanya untuk beliau mencurahkan bakti dengan berkhidmat di kawasan ini yang satu ketika dulu merupakan tempat dirinya dibesarkan.
“Ini adalah tempat saya dibesarkan dahulu kerana pernah bersekolah di Renggam. Saya rasa sudah sampai masa saya balik ke kawasan saya untuk melihat beberapa perkara yang saya boleh bantu dari segi pembangunaan ekonomi dan belia malah aspek lain di kawasan ini.
“Sebelum ini, saya pernah bertanding menjadi wakil rakyat di DUN Jorak selam dua penggal dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), saya bertanding di Sri Gading dan sekarang menjadi ahli parlimen di situ,” katanya pada pemberita selepas pengumuman penamaan calon di Dewan Orang Ramai Simpang Renggam.
Ketua Pejuang Johor itu akui walaupun dirinya telah berusia namun beliau yakin persaingan sihat bersama calon muda di kawasan ini adalah satu peluang yang baik untuk bersama -sama partisipasi sepanjang berkempen dalam PRN Johor ini.
“Saya melihat ini peluang yang terbaik bagi saya dan golongan muda untuk bersama -sama partisipasi amalan demokrasi negara kita dan itu adalah perkara lumrah.
Apa yang penting ketika ini, adalah kita melihat waktu berkempen dalam keadaan yang sihat dan apa rancangan semua parti akan ketengahkan bersama janji mereka membuat tawaran pada para pengundi di kawasan ini,” ujar beliau.
Kerusi DUN Machap untuk PRN Johor kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Barisan Nasional (BN), Pejuang, Parti Ikatan Demokratik (MUDA) dan Perikatan Nasional (PN).
Antara calon yang terlibat adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia Dan Sukan, Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN), bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Sharuddin Md Salleh (Pejuang), pengetua Sekolah Menengah Agama Arab Almasriyah, Azlisham Azahar (PN) dan R Sangaran (MUDA).
Sementara itu, R. Sangaran, 32, berkata, beliau tidak gentar meskipun berdepan dengan pencabar-pencabarnya yang berpengalaman luas dalam arena politik tanah air.
Beliau yang merupakan seorang peguam itu berkata, menceburi bidang politik dengan harapan mampu mengubah landskap politik tanah air.
“Saya melangkah dalam politik kerana percaya penglibatan belia pada masa kini amat penting dalam arena politik untuk menukar landskap politik Malaysia kita yang dilihat kucar-kacir dan kita perlu melangkah ke hadapan untuk membuat pembaharuan untuk generasi muda akan datang dan menjadikan Malaysia yg lebih baik.
“Kami juga percaya rakyat akan menilai sendiri dan kita akan dapat kejayaan yang baik dalam pilihan raya ini. Ketika ini, MUDA sedang lakukan perubahan dari segi politik khidmat dan politik dasar. Kami juga amat percaya rakyat akan melihat dengan tepat dan akan memilih MUDA.”ujar beliau.
Dalam pada itu, Azlisham, Ketua Dewan Ulamak Pas Johor pernah bertanding sebelum ini di DUN Machap pada PRU -14 namun dikalahkan oleh Abd Atib Abu Bakar dengan dengan majoriti tipis 404 undi.
Bagaimanapun, beliau berkata, untuk PRN Johor kali ini jenteranya akan berkerja kuat agar PN dapat membentuk kerajaan di Johor. – MalaysiaGazette.