Home PRN Johor Tiada debat calon PRN Johor di televisyen kerajaan – Annuar

Tiada debat calon PRN Johor di televisyen kerajaan – Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ditemubual oleh MalaysiaGazette sempena Pilihan Raya Negeri Johor di Studio MG, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Stesyen televisyen milik kerajaan tidak akan menyiarkan sebarang debat di antara calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, PRN Johor hanya melibatkan negeri dan tidak melibatkan peringkat nasional.

“Siaran televisyen adalah siaran nasional. Tidak ada siaran tempatan. Kalau radio ada radio tempatan tapi kalau televisyen itu nasional.

“Jadi kita ingin mengekalkan pilihan raya ini sebagai satu pilihan raya negeri bukan pilihan raya nasional. Maka belum ada sebarang rancangan untuk mengadakan debat di televisyen,” kata Annuar.

Tambah beliau, debat antara pemimpin politik yang bertanding dalam pilihan raya di televisyen biasanya melibatkan negara yang mengamalkan sistem dua parti seperti Amerika Syarikat.

Debat seperti itu tidak sesuai untuk negara seperti Malaysia yang mempunyai berbelas parti politik dan jumlah calon bertanding yang ramai.

“Kita tengok di Johor banyak betul parti yang bertanding. Ada yang tujuh penjuru, ada yang lima penjuru, ada empat penjuru. Lebih 12 parti politik.

“Jadi nak debat ini antara siapa dengan siapa. Kita tak boleh pilih kasih, pilih dua parti yang besar, yang lain macam mana? Terutama sekali dalam televisyen dia tidak bersifat nasional kerana ini pilihan raya negeri,” kata Annuar.

Bagaimanapun menurut Annuar, pihaknya akan mempertimbangkan kebenaran berdebat pada pilihan raya umum.

Sementara itu Annuar berkata, saluran televisyen kerajaan boleh membantu menyebarkan maklumat mengenai calon-calon yang disahkan bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Katanya, Kementerian akan memberi peluang kepada semua calon untuk dikenali oleh pengundi.

“Maka adalah tidak salah bagi media kerajaan, saluran televisyen dan radio memaksimukan ruang untuk memperkenalkan calon, bukan untuk berkempen.

“Kalau berkempen itu tidak bolehlah di media rasmi kerajaan kerana kerajaan itu satu badan yang boleh kita anggapkan sebagai berkecuali. Kita hanya mengendalikan dasar-dasar kerajaan.

“Orang yang hendak bertanding, dia ada dasar-dasar sendiri. Jadi untuk berkempen buat masa ini kita belum mempunyai ruang yang cukup untuk calon yang sebegitu ramai,” kata Annuar.

Katanya dasar tersebut sudah dilaksanakan dalam PRN Melaka dan PRN sarawak.

Justeru tidak menjadi satu kesukaran kepada semua media kerajaan untuk meneruskan dasar yang sama pada PRN Johor.

Annuar ditemui selepas melakukan lawatan ke bilik operasi Jabatan Penerangan, Bernama dan MalaysiaGazette sempena PRN Johor di sini hari ini.- MalaysiaGazette