KUALA LUMPUR – Sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka dan seorang warga Singapura yang dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine selamat tiba di Poland awal pagi tadi dan disambut dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di negara itu.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi ciapan di Twitter memaklumkan konvoi tersebut yang diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud kini sedang menuju ke ibu kota Poland.
“Mereka sedang menuju ke Warsaw pada waktu ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat,” katanya.
Sementara itu, Wisma Putra menerusi hantaran di Twitter memaklumkan konvoi itu selamat tiba di sempadan Korczowa-Krakovets pada pukul 5.45 pagi waktu Malaysia (10.45 malam, 26 Feb waktu tempatan).
“Wisma Putra sentiasa berhubung dengan pegawai kedutaan mengenai lokasi, keselamatan dan konvoi yang mengiringi mereka,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata pemindahan baki rakyat Malaysia di Ukraine sedang giat dilakukan manakala 13 rakyat Malaysia telah meninggalkan negara itu dalam tempoh beberapa minggu lepas berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu.
Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.
Susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara.
Ukraine juga telah mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, kerana ‘berisiko tinggi’ kepada penerbangan awam.
Difahamkan, pelan pemindahan untuk rakyat Malaysia adalah menerusi jalan darat ke Poland, yang meliputi perjalanan 782 kilometer.- BERNAMA