Home Politik Banyakkan peluang pekerjaan di Parit Raja tumpuan Rashidah

Banyakkan peluang pekerjaan di Parit Raja tumpuan Rashidah

Calon Barisan Nasional (BN) N.22 Parit Raja, Nor Rashidah Ramli bercakap kepada media selepas program bertemu pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Sri Raja Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2022.

BATU PAHAT – Usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda menjadi tumpuan utama calon Barisan Nasional (BN), Nor Rashidah Ramli sekiranya beliau sekali lagi diberikan mandat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja.

Beliau mahu melihat anak muda di kawasan yang ditandinginya lebih kehadapan dan disebabkan itu beliau menjadikan perkara tersebut sebagai agenda penting perjuangannya.

Rashidah juga mahu anak muda di DUN Parit Raja menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, selain pelbagai bidang yang boleh membina diri dan keyakinan agar golongan itu dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri Johor.

“Sekiranya diberi peluang pada PRN kali ini…insya Allah saya akan melihat lebih dekat peluang-peluang untuk anak muda, ruang dan peluang yang akan diberikan oleh kerajaan negeri untuk anak muda lebih kehadapan,” katanya ketika ditemui pada program Perjumpaan Presiden UMNO bersama calon dan pengundi BN DUN Parit Raja di sini, hari ini.

Dalam pada itu Rashidah juga akan memastikan kebajikan untuk rakyat kerana beliau merupakan seorang amat menitikberatkan tentang perkara itu.

Rashidah bersyukur kerana sepanjang tempoh bergelar wakil rakyat di DUN berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, beliau berjaya membekalkan lebih 7,000 bakul makanan kepada masyarakat di kawasannya serta keperluan-keperluan lain khusus buat mereka yang uzur.

Beliau turut akan membantu menyelaraskan bantuan-bantuan seperti yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan khidmat Skim Keselamatan Sosial oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Insya Allah perkara ini yang menjadi keutamaan saya supaya mereka yang layak dapat diberikan perhatian,” ujarnya. – MalaysiaGazette