Home Politik Calon MCA juga boleh beri kejutan – Najib

Calon MCA juga boleh beri kejutan – Najib

Datuk Seri Najib menyantuni penduduk Perling hari ini.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Najib Razak yakin calon MCA  mampu memenangi kawasan ditandingi sekiranya sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN) diterjemahkan dalam bentuk undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Perkara itu berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima pihaknya dalam beberapa lawatan ke kawasan komunikasi masyarakat Cina di negeri ini.

“Saya lihat sokongan daripada masyarakat Cina kini bertambah dan meningkat jika dibandingkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kini apa yang diharapkan adalah sokongan itu diterjemah dalam bentuk undi pada 12 Mac ini.

“Sungguh pun demikian, kita tidak boleh berasa terlalu yakin walaupun dalam fikiran nampak BN ada peluang yang baik, sebaliknya kita perlu tumpukan kepada soal pokok dahulu iaitu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina.

“Ini kerana mereka yang dahulunya menyokong DAP berasa marah dan kecewa selepas ditipu Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh 22 bulan mereka mentadbir negara,” katanya yang juga Penasihat BN.

Berkata demikian kepada pemberita ketika menyantuni komuniti Cina di Taman Bukit Indah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar dan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Tan Hiang Kee.

Bekas perdana menteri juga berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan calon BN di kerusi DUN Perling akan melakar kejutan dengan menewaskan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang turut bertanding di kerusi sama.

“DUN Perling calon MCA akan lawan Chin Tong, berdasarkan sambutan yang kita lihat kita tidak tolak kemungkinan akan berlaku kejutan. Ini kerana komuniti Cina sudah serik ditipu, mereka gagal mendapat pembelaan dibawah DAP dan PH.

“Sehubungan itu, saya merayu pengundi Johor termasuklah dalam komuniti Cina untuk sama-sama memberikan sokongan kepada BN dalam PRN ini bagi membolehkan satu kerajaan yang stabil dan mampu membawakan masa depan rakyat Johor ke arah lebih baik.

“Rakyat tidak boleh menolak hakikat bahawa jika dibandingkan tempoh pentadbiran kerajaan PH dan BN, kerajaan BN jauh lebih baik,” ujarnya sambil disambut sorakan daripada masyarakat Cina yang hadir.- MalaysiaGazette