KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis yang sedang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi maut selepas menembak dirinya sendiri dengan menggunakan senjata api di sebuah rumah di Jalan Selingsing, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima mengenai kejadian itu lebih kurang 3.30 petang.
Pegawai perubatan yang tiba ditempat kejadian bersama ambulans mengesahkan kematian mangsa yang berusia 35 tahun pada jam 3.59 petang.
”Mangsa telah menembak dirinya sendiri dibahagian kepala dengan menggunakan sepucuk pistol,” katanya dalam kenyataan di sini.
Eng Lai berkata, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Setakat ini punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan pihak polis.
Kes ini telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette