Home Nasional Khairy akan teliti terlebih dahulu video Najib langgar SOP

Khairy akan teliti terlebih dahulu video Najib langgar SOP

Khairy Jamaluddin

SIMPANG RENGGAM – “Kadang-kadang pemimpin yang kita kompaun itu tidak bersalah tetapi orang ramai yang hadir sehingga menyebabkan isu langgar SOP. Akhirnya pemimpin perlu dikompaun”.

Itu reaksi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tentang dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pagi ini.

Kata Khairy, seandainya wujudnya kesalahan seperti yang didakwa segelintir pihak pasti beliau akan dikenakan kompaun namun perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu.

“Jika ada langgar SOP, kita akan kenakan kompaun. Tapi saya kena sebut ini ya, kadang-kadang kalau tengok video orang salahkan pemimpin hadir. Saya tidak rujuk kes ini tapi semua kes.

“Tapi kerana keadaan bertambah kecoh dan ramai kerana orang-orang yang hadir itu. Oleh kerana situasi seperti ini, saya telah minta pegawai saya untuk buat teguran dulu, guna budi bicara. Kalau boleh janganlah kerumuni pemimpin.

“Kedua, kita juga minta supaya sentiasa jaga penjarakkan sosial terutamanya ketika lakukan walkabout dan lawatan lain-lain,” katanya di sini hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau mengulas tentang adanya segelintir parti dan pemimpin politik yang dikatakan gagal dalam menjaga SOP ketika musim kempen PRN ini.

Pagi ini juga kecoh video Najib hadir berkempen untuk calon MCA di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling yang didakwa melanggar SOP. -MalaysiaGazette