Home Politik Mohd Fared tak gentar berdepan pencabarnya di DUN Semerah

Mohd Fared tak gentar berdepan pencabarnya di DUN Semerah

Mohd Fared mengedarkan risalah kempen ketika melakukan walkabout di tapak pasar malam, Taman Perindustrian Seri Sulong, hari ini.

PARIT SULONG – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Fared Khalid tidak gentar untuk berdepan dengan dua pencabarnya yang lebih berusia dalam pertembungan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah.

Calon yang berlatar belakang peguam itu bagaimanapun tetap menghormati pencabarnya terutama Datuk Ariss Samsuddin (Perikatan Nasional) dan Prof Madya Kamarolzaman Md Jidi (Putra).

Katanya, kekuatan yang dimiliki untuk mengharungi semua itu datangnya dari jentera parti yang banyak membantu.

“Alhamdulillah, pertamanya syukur tak rasa gentar sebabnya jentera BN yang ramai itu memberikan kekuatan kepada saya.

“Keduanya, menghormati kedua-dua calon yang berusia itu…saya kira itu satu kesempatan yang baik untuk saya belajar daripada mereka dan mudah-mudahan persaingan ini menjadi persaingan yang sangat sihat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas melakukan walkabout di tapak pasar malam, Taman Perindustrian Seri Sulong hari ini.

Diminta mengulas mengenai langkah pertama yang akan dilakukan sekiranya beliau diangkat sebagai wakil rakyat, Mohd Fared yang merupakan bapa kepada tiga orang cahaya mata itu akan memastikan beberapa perkara asas di kawasan tersebut yang masih belum diselesaikan.

Antaranya perkara yang bertindan bidang kuasa seperti melibatkan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dengan pejabat daerah melibatkan infrastrukur.

“Saya tak nak fikir benda-benda besar, rupa-rupanya masih ada lagi benda-benda kecil perkara-perkara asas yang tertinggal dalam beberapa keadaan.

“Saya mahu rakyat merasai nikmat jalan raya dan juga kemudahan asas yang tertentu. Selebihnya sudah tentulah mana-mana wakil rakyat mereka akan mengimpikan masa depan yang lebih baik di kawasan yang dia wakili,” ujarnya. – MalaysiaGazette