Home Ekonomi Ordersini catat transaksi jualan RM150 juta

Ordersini catat transaksi jualan RM150 juta

Pengasas Ordersini, Iffat Salleh.

KUALA LUMPUR – Ordersini yang merupakan platform atas talian yang menghubungkan pelanggan dengan kedai berjaya mencatat transaksi jualan sebanyak RM150 juta sejak beroperasi pada 2016.

Pengasas Ordersini, Iffat Salleh berkata, transaksi jualan tertinggi yang diraih adalah pada Januari tahun lalu sebanyak RM140 juta.

Menurut beliau, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ditamat dan operasi perniagaan fizikal kembali seperti biasa, transaksi jualan ketika ini mencatatkan jualan RM640,000 pada bulan lalu.

“Bagi tahun 2022, Ordersini telah merancang untuk menjadi penyedia platform e-dagang inovatif yang mengintegrasikan sistem pemasaran dan pengurusan jualan untuk memudahkan pengguna meraih hasil jualan dengan cepat.

“Ordersini akan terus komited memberikan peluang kepada peniaga tradisional untuk beralih kepada e-dagang dengan cara yang mudah dan mengendalikan perniagaan dalam talian dengan lancar.

“Kami bukan sahaja menyediakan pakej tanpa bayaran (percuma), malah pengguna hanya perlu memasukkan produk dan kesemua proses dalam sistem berlaku secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Perkhidmatan Ordersini adalah sistem yang cukup lengkap kerana menyediakan alat pemasaran seperti fungsi penghantaran sistem khidmat ringkas (sms), penghantaran e-mel, dan penghantaran notifikasi melalui Whatsapp atau Telegram sekiranya peniaga menerima tempahan.

Sejak dilancarkan pada tahun 2016, Ordersini mempunyai lebih 341,643 pengguna aktif, lebih 3,000 kedai dengan 44,765 produk.

Iffat melancarkan Ordersini pada tahun 2016.

Mengulas lanjut mengenai perancangan tahun ini, Iffat memberitahu, Ordersini berhasrat memiliki 10,000 kedai aktif dalam tempoh akan datang.

Jelas beliau, pihaknya turut merancang untuk menukarkan platformnya kepada Bahasa Inggeris dalam usaha melangkah ke peringkat global.

Tambahnya, Ordersini akan melaksanakan satu ekosistem dengan membolehkan peniaga atas talian hanya duduk di rumah dengan menghasilkan produk sendiri seperti Amazon.

“Kami akan mewujudkan satu rumah simpanan sebagai gudang produk di mana kami akan meletakkan produk peniaga di situ.

“Pihak kami yang melakukan promosi dan jualan  secara langsung serta di mana pembelian dan urusan pos yang memudahkan urusan peniaga,” katanya.

Menurut Iffat, maklum balas testimoni pengguna yang diterima amat memberangsangkan dan beliau mahu menjadikan Ordersini sebagai pilihan utama peniaga konvensional yang hendak transformasi digital.

“Ordersini akan terus memberi sokongan kepada peniaga untuk berkembang dan berfungsi sebagai batu loncatan bagi mereka untuk membina hubungan dengan pembeli,” katanya.

Bagi peniaga yang baru bermula berniaga secara online, Ordersini juga menyediakan group coaching dan sesi Facebook live mingguan untuk membantu mereka memahami sistem dan menggunakannya bagi menjana jualan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Ordersini, mereka boleh melayari https://www.ordersini.com/.

Ordersini berfungsi sebagai platform bagi peniaga untuk menjual produk mereka. – MalaysiaGazette