Home Sukan Petrus Shitembi jadi pemain import terakhir TFC

Petrus Shitembi jadi pemain import terakhir TFC

Petrus Shitembi.

KUALA LUMPUR – Ketua pasukan kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi menjadi pemain import terakhir diikat Terengganu FC (TFC) Sdn. Bhd. dalam misi menjulang sekurang-kurangnya satu piala pada Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain yang mendapat jolokan The Dancing Shoes itu telah menandatangani kontrak untuk tempoh setahun dan didaftarkan di bawah pasukan Terengganu FC ll (TFC ll).

Shitembi yang telah membuat 60 penampilan bersama skuad kebangsaan Namibia sah menjadi milik TFC Sdn Bhd selepas berjaya didaftarkan pada hari terakhir jendela perpindahan pertama pemain Liga M pada 22 Februari lalu.

Pemain berusia 29 tahun akan memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan Terengganu FC (TFC) dan TFC ll dalam mengharungi cabaran Liga M yang akan bermula 5 Mac ini.

Petrus sebelum ini beraksi bersama TFC namun hanya sempat untuk beraksi dalam beberapa perlawanan dalam saingan liga kerana mengalami kecederaan Anterior cruciate ligament (ACL).

Dia mengalami kecederaan ACL pada Mac lalu dan terus menjalani pembedahan lutut sekaligus terlepas keseluruhan aksi musim 2021.

Pada jendela perpindahan kedua musim lalu, pihak pengurusan pasukan membawa masuk Habib Haroon bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Petrus.

Meskipun dibawa masuk pada jendela perpindahan keduam, Habib menampilkan prestasi cemerlang dimana dia  mencipta gandingan yang baik bersama Dechi Marcel N’Guessan dan Makan Konate di bahagian tengah.

Bagi saingan musim 2022, Dechi Marcel berhijrah ke Kedah Darul Aman manakala Makan Konate kembali ke Liga Indonesia dengan menyertai Persija Jakarta sekaligus meninggalkan Habib keseorangan di posisi tengah. – MalaysiaGazette