KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pasukan penyelamat ke Kelantan dan Terengganu bagi membantu mangsa banjir di kedua-dua negeri.
Menurut Ismail Sabri, beliau telah menerima laporan beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu terutamanya di Hulu Terengganu ditimpa musibah banjir yang teruk.
“Sejak semalam NADMA serta agensi menyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, PDRM, ATM dan Angkatan Pertahanan Awam telah dikerahkan bagi kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan terjejas bagi memastikan proses evakuasi mangsa berjalan lancar.
“Angkatan Tentera Malaysia melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia juga telah diaturgerak membantu mangsa di kedua-dua negeri,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, mangsa yang terjejas sedang diselamatkan dan dibawa ke tempat yang lebih selamat.
Beliau turut mengarahkan NADMA untuk memastikan kit makanan mencukupi di pusat pemindahan sementara (PPS).
Ismail Sabri juga meminta Kementerian Kesihatan turut membantu dalam memastikan pencegahan penularan COVID-19 dilaksanakan di pusat pemindahan.
“Kepada mangsa banjir, ikuti langkah-langkah keselamatan dan berpindah ke PPS atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri dan keluarga.
“Sama-sama kita doakan agar keadaan banjir segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.
Keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Terengganu dan Kelantan apabila bilangan mangsa meningkat di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin meningkat sejak semalam.-MalaysiaGazette