Home Politik Tiada nama besar bukan masalah kepada PKR – Nurul Izzah

Tiada nama besar bukan masalah kepada PKR – Nurul Izzah

Nurul Izzah walk-about' menyantuni penduduk setempat di sebuah pasar raya besar, di Kulai, di sini hari petang tadi.

KULAI – Calon Pakatan Harapan (PH) khususnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berdepan masalah untuk menarik sokongan pengundi terutama anak muda negeri ini walaupun parti tersebut kekurangan nama-nama besar yang ‘popular’ berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar Ibrahim berkata, PKR masih mempunyai calon-calon baharu yang berwibawa dan perlu diketengahkan.

Meskipun begitu, Nurul Izzah yang sinonim sebagai ‘Puteri Reformasi’ itu memberitahu, PKR masih mempunyai nama-nama ikonik yang masih setia dengan perjuangan parti antaranya bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Alhamdulillah kami semua masih bersama parti, saudara Rafizi, saya dan beberapa lagi yang lain. Jadi kita harus membina semula semangat dan menyatakan kita masih teguh bersama PKR.

”Apa yang penting ketika ini adalah menumpukan kepada keberkesanan calon untuk menjadi wakil kepada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya selepas melakukan ‘walk-about’ untuk menyantuni penduduk setempat di sebuah pasar raya besar, di Kulai, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Nurul Izzah berkata, perjuangannya PKR yang ditubuhkan pada 1999 masih belum selesai.

PKR juga memerlukan suara perwakilan untuk mencari solusi kepada permasalahan dihadapi rakyat dalam tempoh pasca pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai PRN Johor, Nurul Izzah menyambut baik penyertaan ramai calon dalam kalangan wanita dalam pilihan raya ini.

“Bagi saya itu satu perkembangan yang baik, memang itu trend yang berlaku di seluruh dunia ketika ini. Ini seharusnya berlaku bukan sahaja di peringkat pembuat keputusan tetapi juga melibatkan golongan wanita di pelbagai segmen masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette