Home Politik Tolak pemimpin ‘katak’ – Youzaimi

Tolak pemimpin ‘katak’ – Youzaimi

Mohd Youzaimi Yusof

MERSING – Calon UMNO bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Endau pada Pilihanraya Negeri (PRN) Johor, Youzaimi Yusof meminta para pengundi agar tidak memilih pemimpin yang melompat parti atau ‘katak’ demi kestabilan politik dan ekonomi negara.

Tanpa menyebut nama sesiapa, Youzaimi berkata, rakyat harus buka mata sebelum membuat pilihan kerana pemimpin yang tiada pendirian politik adalah mereka yang hanya mementingkan periuk nasi sendiri tanpa memikirkan rakyat yang telah mengundi mereka.

“Rakyat pilih calon dari parti yang mereka sokong tetapi bila dah menang,  calon yang dipilih tukar ke parti lain dan langsung tidak fikirkan perasaan rakyat yang setia menyokong parti.

“Sikap pemimpin begini sebenarnya hanya merosakkan negara yang kini semakin bercelaru baik dari segi politik mahupun ekonomi hingga menyebabkan pelabur asing takut untuk membuat pelaburan dengan kita.

“Sudahnya yang menderita adalah rakyat hingga ramai yang sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin gara-gara pemimpin yang tidak berpendirian dan hanya pentingkan diri sendiri,” katanya ketika ditemui.

Ketua UMNO bahagian Mersing ini seterusnya berkata, kesetiaannya kepada parti tidak berganjak sedikitpun biarpun ditawarkan habuan yang cukup lumayan.

“Kalau saya nak hidup senang tanpa susah payah memikirkan rakyat, dari dulu lagi saya dah lompat parti ikut ketua saya, Dato Dr Latif Ahmad tetapi saya bukan begitu.

“Memang orang Mersing tahu hubungan rapat saya dengan Latif dan dia banyak mengajar saya tetapi tak semestinya saya kena ikut rentak dia yang songsang dalam perjuangan politik.

“Politik saya bermula daripada UMNO dan saya akan terus berjuang untuk parti dengan penuh keikhlasan demi membantu rakyat bersama rakan-rakan yang setia dalam perjuangan,” jelasnya.

Pada PRN ini, Youzaimi akan bertembung dengan calon Bersatu, Alawiyah Talib yang turut melompat ke parti lain setelah menang pada pilihan raya umum ke 14 atas tiket UMNO.

Selain Alawiyah, tiga lagi calon turut menjadi saingan Youzaimi bagi merebut kerusi Dun Endau iaitu Fakrulrazi Mahmud dari Pakatan Harapan, seorang dari parti Pejuang dan seorang calon bebas.

“Saya merayu rakyat khususnya pengundi agar menolak calon yang tidak berpendirian dalam politik demi memakmurkan kembali negara,” katanya. – MalaysiaGazette