KUALA KRAI – Seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun menjadi korban pertama banjir di Kelantan yang melanda negeri itu sejak Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintenden Suzaimi Mohammad berkata Mohammad Ishak ditemukan lemas di Kampung Kuala Gris dekat Dabong di sini pada 7 malam tadi iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa ditemukan oleh orang awam yang ternampak mayat terapung tersangkut pada pokok di dalam sungai berdekatan tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Krai untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini
Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas dekat Kampung Kuala Gris di sini petang semalam.
— BERNAMA