Home PRN Johor Zahid cadang gaji minimum bermula di Johor jika menang PRN

Zahid cadang gaji minimum bermula di Johor jika menang PRN

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas program bertemu pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Sri Raja Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2022.

AYER ITAM – Mungkin Johor akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan penetapan kadar gaji minimum baharu seandainya mandat diberikan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri akan bertindak mencadangkan inisiatif itu kepada Menteri Besar seandainya BN berjaya membentuk kerajaan.

“Ya, saya akan lakukan perbincangan dengan Menteri Besar, pastinya tertakluk dengan polisi atau dasar kerajaan Persekutuan.

“Saya harap benchmark (penanda aras) terhadap gaji minimum juga akan ditentukan berdasarkan dasar yang telah ditentukan oleh Putrajaya untuk dilaksanakan oleh kerajaan baharu Johor dalam perkara ini.

“Walau apa pun, kepentingan rakyat terutama pekerja-pekerja berpendapatan rendah hendaklah juga dibela oleh kerajaan negeri Johor,” katanya kepada sekumpulan media selepas sesi santai bersama penduduk Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Semarang hari ini.

Ahmad Zahid mengulas pertanyaan wartawan seandainya Johor boleh memulakan kadar gaji minumum seperti yang telah di umumkan kerajaan baru-baru ini.

Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, para pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Kata Saravanan, walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Malah beliau turut mengakui Malaysia sebenarnya agak terlambat memutuskan perkara itu dan kementerian berusaha supaya ia akan direalisasikan menjelang akhir tahun ini.

Pelbagai pihak tampil melahirkan rasa berikutan isu kadar gaji minimum baharu yang masih belum dapat diselesaikan sehingga hari ini.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet Tahun 2020. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. GAJI PENJAWAT AWAM YANG SEDIA ADA SEKARANG PUN LAMA TAK NAIK2…..pancing undi JANJI bulan bintang….dah menang nanti jadi PERANGAI MUNAFIKUN

Comments are closed.