KUALA LUMPUR – Seramai 572 tokan dadah berjaya diberkas dalam Operasi Tapis Khas Siri 2 yang berlangsung baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan berkata, turut ditangkap 1,850 penagih dan 185 individu yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan.
Daripada jumlah keseluruhan 3,668 orang ditangkap itu dilakukan di 125 penempatan rancangan Felda dan 222 Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) seluruh negara, dengan seorang daripadanya merupakan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Selain itu, enam yang diberkas adalah pelajar sekolah menengah yang didapati memiliki dan menggunakan dadah, ujarnya.
“Sepanjang operasi ini dilancarkan seramai 4,579 orang telah ditahan dan diperiksa. Daripada jumlah tersebut seramai 3,668 ditangkap yang mana 3,512 adalah lelaki dan 156 adalah perempuan. Seramai 116 suspek adalah warga asing.
“Kesemua yang ditangkap berusia 14 hingga 60 tahun,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kotinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Ayob berkata, sebanyak 745.93 kilogram 283.60 liter dadah pelbagai jenis termasuk pokok ganja dirampas dalam operasi yang bermula 23 hingga 25 Februari baru-baru ini dengan nilai keseluruhan RM10,377,061.
Tambah beliau, pasukan JSJN turut merampas sepucuk pistol tiruan, dua laras senapang patah, selaras senapang angin dan 35 butir peluru.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ayob berkata, aktiviti penagihan dadah khususnya di penempatan Felda bukan perkara baharu, justeru tindakan yang konsisten diperlukan demi membanteras dalang-dalang dan penagihan di kawasan berkenaan.
Dalam masa yang sama beliau menegaskan bahawa pekerjaan penduduk di kawasan Felda tidak boleh dijadikan alasan untuk terlibat dengan penyalahgunaan dadah
“Ini benda lama, Felda seluruh Malaysia ada 317, setakat ini kita baru buat serbuan di 125 kawasan jadi ada pagi baki.
“Mungkin dari segi landskap Felda dan pekerja-pekerja di sana, tetapi pekerjaan mereka bukan alasan untuk aktiviti dadah ini berlangsung,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam operasi yang sama JSJN juga berjaya menumpaskan kegiataan pengedaran dadah bernilai RM9.396 juta.
Kejayaan berkenaan melibatkan tangkapan sepasang kekasih individu berumur 29 tahun disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah.
“Lelaki tempatan dan wanita warganegara Vietnam yang dipercayai pasangan kekasih dan tidak bekerja itu ditahan bersama syabu yang dianggarkan bernilai RM9.396 juta.
“Kita percaya sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu menjadikan kondominium mewah sebagai tempat untuk menyimpan dadah dan bahan itu disyaki dipasarkan ke Sabah serta Sarawak berdasarkan tangkapan oleh pihak JSJN di sana,” katanya lagi.– MalaysiaGazette