Home Politik Calon MUDA Bukit Permai dikompaun kerana ‘fist bump’

Calon MUDA Bukit Permai dikompaun kerana ‘fist bump’

Azrol Rahani (tengah) memegang notis kompaun yang diterima daripada KKM.

KULAI – Calon MUDA Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai Azrol Rahani telah dikenakan kompaun kerana melakukan ‘fist bump’ bersama dengan seorang penyokongnya pada Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu.

Kesalahan ‘individu gagal membuat penjarakan fisikal (sentuhan tangan) itu dinyatakan dalam notis kompaun yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Azrol didakwa melakukan kesalahan itu pada Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu di sekitar pusat penamaan calon di Dewan Raya Eskandar Putra Kulai.

Menurut Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long, kompaun berjumlah RM1,000 yang dikenakan ke atas Azrol adalah tidak munasabah.

Ini kerana, kesalahan ‘fist bump’ tidak dinyatakan dalam SOP KKM dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Yang menjadi masalah adalah kompaun ini dikenakan terhadap satu kesalahan yang tidak dinyatakan di dalam SOP yang dikeluarkan oleh KKM dan SPR.

“Saya belek dan bukak satu-satu buku panduan ini terutama dalam tempoh berkempen aktiviti dan protokol. Tidak ada sebarang peruntukan ataupun sebarang penyataan yang menyatakan tindakan Azrol ‘fist bump’ dengan penyokong dengan bertumbuk tangan adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan kompan.

“Jadi kita keliru dengan SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan MUDA Bukit Permai hari ini.

Tambah Luqman, segala tindakan perlulah adil dan saksama terhadap semua pihak dan MUDA sanggup menanggung kompaun yang dikenakan.

Menurutnya, tindakan oleh KKM boleh menggangu perjalanan kempen setiap calon.

Beliau berharap tidak ada lagi calon daripada parti lain yang dikenakan tindakan atas kesalahan ‘fist bump’ seperti yang dikenakan ke atas Azrol.

Sementara itu Azrol berkata, kejadian didakwa berlaku di luar kawasan Dewan Raya Eskandar Putra Kulai.

Katanya, terdapat rakaman daripada orang awam mengenai kejadian itu yang telah ditularkan di media sosial.

Kemudiannya terdapat individu yang membuat laporan kepada KKM kononnya berlaku pelanggaran SOP berdasarkan klip vido berkenaan.

“Saya mendapat surat kompaun ini pada sebelah petang selepas penamaan selesai. Saya mengakui kesalahan saya dan akan membayar kompaun ini,” jelas Azrol ringkas.

Azrol berkata beliau akan membayar kompaun tersebut dalam masa terdekat.-MalaysiaGazette.