KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mengumumkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak RM704.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021), susut 3.3% tahun ke tahun.
Penurunan ini disebabkan terutamanya pendapatan bukan berasaskan dana lebih rendah dan perbelanjaan operasi lebih tinggi.
Pendapatan bukan berasaskan dana menurun RM175.5 juta bagi TK2021, sebahagian besar disebabkan oleh pendapatan pelaburan lebih rendah, khususnya laba bersih lebih rendah daripada penjualan kertas pelaburan.
Pengurangan ini telah diimbangi oleh kerugian modifikasi lebih rendah berikutan penyediaan moratorium pembiayaan kepada pelanggan.
BIMB mengiktiraf kerugian modifikasi sebanyak RM48.9 juta bagi tempoh dalam tinjauan berbanding RM136.4 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi BIMB untuk TK2021 diterjemahkan kepada nilai perolehan sesaham (EPS) 21.87 sen dan pulangan ekuiti bersih (ROE) sebanyak 8.4% (selepas cukai dan zakat).
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, BIMB mencatatkan PBZT sebanyak RM76.4 juta, lebih rendah berbanding 4Q2020 (RM201.9 juta), yang mana sebahagian besarnya disebabkan unjuran pembiayaan terjejas dan pendahuluan lebih tinggi pada suku tersebut.
Nisbah pembiayaan terjejas kasar BIMB adalah 0.96% setakat 31 Disember 2021, prestasi ini kekal lebih baik daripada purata industri sebanyak 1.44%.
Setakat 31 Disember 2021, nisbah jumlah modal BIMB kekal kukuh pada 18.6%, seterusnya menyediakan penimbal yang mencukupi untuk menyerap kerugian dan menyokong pertumbuhan perniagaan.
Jumlah aset BIMB juga meningkat sebanyak 7.4% tahun ke tahun untuk berada pada RM80.2 bilion pada akhir 31 Disember 2021, manakala aset bersih sesaham berada pada RM3.08.
Pembiayaan kasar meningkat sebanyak 6.5% y-o-y kepada RM59.2 bilion, sementara deposit pelanggan dan akaun pelaburan berada pada RM67.8 bilion dengan peningkatan y-o-y sebanyak RM4.3 bilion atau 6.8%.
Jumlah komposisi akaun semasa, simpanan dan akaun pelaburan transaksional berada pada aras sihat 39.6% daripada jumlah pelanggan deposit dan akaun pelaburan.
Dalam pada itu, BIMB berkata, perbankan pengguna mencatatkan pendapatan bersih RM1.2 bilion untuk TK2021, 13.4% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.
Sebahagian besar prestasi itu disumbangkan oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi.
Pembiayaan kasar untuk perbankan pengguna pada akhir Disember 2021 adalah RM44.5 bilion, meningkat sebanyak 7.5% tahun ke tahun didorong terutamanya oleh pertumbuhan dalam pembiayaan rumah.
Manakala perbankan Korporat dan Komersial merekodkan pendapatan bersih RM415.6 juta, meningkat sebanyak 6.5% dari tahun sebelum, disumbangkan oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi.
Jumlah pembiayaan kasar bagi segmen tersebut berjumlah RM14.7 bilion.
Perbendaharaan mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM241.4 juta bagi tempoh tersebut, susut 47.1% berbanding tahun sebelumnya, sebahagian besar disebabkan keuntungan bersih lebih rendah daripada penjualan nilai saksama aset kewangan melalui pendapatan komprehensif lain.
Aset segmen tersebut berada pada RM20 bilion. – MalaysiaGazette