MELAKA – “Saya doakan agar dia mendapat hidayah Allah,”.
Itu reaksi ringkas hero mangsa banjir, Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, mengenai tindakan individu yang membuka akaun palsu di Facebook menggunakan gambarnya dipercayai bertujuan memperdaya orang ramai bagi meraih sumbangan sejak semalam.
Dia yang baru tiba di Terengganu jam 4.50 pagi tadi mengakui sudah lali dengan insiden sedemikian termasuk tindakan individu terbabit yang meminta dana ihsan orang ramai walaupun RM1 seorang kononnya bagi membantunya dalam menyelamat mangsa banjir di Terengganu.
“Jujurnya perkara (menyamar) begini saya dah macam biasa hadapi sebab dulu pun masa awal-awal saya viral ada juga yang buat akaun palsu sebegini.
“Biarlah..itu antara dia dengan Tuhan dan saya doakan dia mendapat hidayah Allah. Tidak ada kesan pun pada saya,” katanya dihubungi hari ini.
Azwan berkata, dia tidak mahu perkara sedemikian mengganggu fokus untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang lebih utama dan penting untuk dibantu berbanding memikirkan kesan pada dirinya.
Malah katanya, dia juga tidak bercadang membuat laporan polis kerana yakin masyarakat hari ini lebih bijak menilai ketulenan sesuatu akaun sebelum memberikan sumbangan.
“Benda-benda menyamar macam ini tak ke mana pun. Biarlah…tak lama lagi dia berhentilah tu,” katanya enggan memanjangkan perkara itu.
Terdahulu, kewujudan akaun Facebook palsu itu dikesan berlegar di media sosial sejak malam tadi, namun ada dalam kalangan netizen yang dapat ‘menghidu’ penipuan akaun terbabit.
Ini berdasarkan ejaan pada nama Azwan di akaun Facebook berkenaan yang berbeza daripada akaun rasmi Abang Viva yang menggunakan nama Azwan Omar. – Malaysiagazette