Home Ekonomi IHPR Januari naik 9.2%

IHPR Januari naik 9.2%

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan yang mengukur kos barangan di pintu kilang meningkat 9.2 peratus pada Januari 2022 berbanding penurunan 0.1 peratus direkodkan pada Januari 2021.

Kenaikan ini lebih rendah berbanding peningkatan 10.0 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan pada Disember tahun lepas.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada Januari 2022 disokong oleh indeks perlombongan yang meningkat 34.3 peratus berbanding penurunan 28.3 peratus yang direkodkan pada Januari tahun lepas.

Harga minyak mentah dan gas asli yang mencatatkan peningkatan masing-masing dengan 33.5 peratus dan 39.0 peratus menyumbang kepada kenaikan ini.
Indeks pertanian, perhutanan & perikanan meningkat sederhana 12.5 peratus berbanding kenaikan 22.6 peratus yang direkodkan pada Januari 2021.
Peningkatan ini adalah disebabkan oleh kenaikan pada indeks penanaman tanaman kekal (14.6%) dan perikanan (13.3%).

Indeks pembuatan turut mencatatkan kenaikan 7.0 peratus (Januari 2021: 1.1%), sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pada indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (19.2%), pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (17.0%) dan pembuatan komponen & papan elektronik (0.4%).

Sementara itu, indeks subsektor lain seperti pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah sintetik dalam bentuk primer, Pembuatan besi & keluli asas dan pembuatan produk plastik turut meningkat.

Pada masa yang sama, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 1.2 peratus dan 0.9 peratus.

IHPR pengeluaran tempatan pada bulan Januari 2022 merekodkan peningkatan 1.3 peratus setelah mencatatkan penurunan buat kali pertama dalam tempoh 14 bulan pada Disember 2021disokong oleh peningkatan marginal 4.5 peratus dalam indeks pertanian, perhutanan & perikanan.

Kenaikan dalam sektor ini dipacu oleh kenaikan harga buah tandan segar kelapa sawit yang merekodkan peningkatan 7.1 peratus.

Pada masa yang sama, indeks bagi tomato, kobis bulat, lada hitam dan getah asli & lateks juga menyumbang kepada peningkatan ini.

Namun, penurunan dalam indeks ayam dan telur ayam telah mengimbangi kenaikan dalam indeks bagi sektor ini.

Mohd Uzir menambah, selain itu, indeks perlombongan turut mencatatkan peningkatan 3.1 peratus pada Januari 2022.

Harga minyak mentah meningkat pada Januari 2022 setelah merekodkan penurunan selama dua bulan berturut-turut, disebabkan oleh permintaan melebihi bekalan.

Permintaan terhadap komoditi ini dijangka akan berterusan walaupun terdapat kebimbangan mengenai penyebaran varian Omicron memandangkan banyak negara menolak untuk melaksanakan sekatan ketat sekali lagi.

Sementara itu, indeks pembuatan naik 0.8 peratus disebabkan oleh peningkatan indeks subsektor pembuatan minyak & lemak daripada sayuran
& haiwan (2.4%) dan pembuatan produk petroleum bertapis (1.7%).

Harga minyak sawit mentah naik pada Januari 2022 sebahagian besarnya disokong oleh kebimbangan mengenai pengurangan ketersediaan eksport daripada pengeksport terkemuka dunia Indonesia serta kenaikan harga minyak mentah.

Indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat 0.2 peratus dan 0.1 peratus.

Melihat kepada perbandingan inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara lain, IHPR di China meningkat 9.1 peratus pada Januari 2022, rendah sedikit berbanding peningkatan 10.3 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan pada Disember 2021.

Sementara itu, IHPR di Taiwan mencatatkan peningkatan 10.8 peratus berbanding peningkatan 12.5 peratus yang direkodkan pada Disember 2021.

Pada Januari 2022, IHPR di Amerika Syarikat meningkat 9.7 peratus tahun ke tahun (Disember 2021: 9.8%). – MalaysiaGazette