KUALA LUMPUR – Bekalan binatang ternakan terutama daging kambing tempatan masih belum mencukupi sehingga negara terpaksa mengimportnya dari luar.
Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan termasuk bekalan seperti daging kambing yang kini mendapat sambutan tinggi di pasaran.
Justeru Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Syarikat Biovet International Sdn. Bhd. (Biovet) buat pertama kali bekerjasama dalam usaha menangani masalah bekalan makanan ternakan negara.
Presiden Angkasa, Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, tiga buah koperasi menerima serahan lebih 100 ekor kambing biri-biri dengan jumlah keseluruhan bernilai sekitar RM350,000 oleh pihak Biovet International Sdn. Bhd.
Ia dalam usaha menggalakkan pengeluaran produk tempatan dan mengurangkan bekalan import itu,
Ketiga-tiga koperasi di bawah Angkasa tersebuat ialah Koperasi Bimbingan Ihsan Temerloh Berhad (KOB1), Koperasi Guru-Guru Lepasan Maktab Temerloh Berhad (KOGURU) dan Koperasi Keluarga Haji Moha Ilyas (KOPMAI).
“Tiga koperasi ini akan bekerjasama dengan pihak Biovet untuk menternak kambing biri-biri dalam usaha menambah produk ini di pasaran sekali gus membantu kerajaan mengurangkan kos mengimport produk ternakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau kelmarin menyempurnakan Majlis Penyerahan Ternakan Biovet bertempat di Ibu Pejabat Biovet, Kampung Baru Kuala Tekal, Kuala Krau di Temerloh.
Menurut Abdul Fattah, menerusi kerjasama itu, ia membuka ruang kepada koperasi melibatkan diri dalam perniagaan baharu yang mempunyai potensi tinggi.
“Kita melihat bidang ternakan ini mempunyai permintaan yang tinggi sekali gus mempunyai potensi besar untuk diceburi oleh gerakan koperasi. Ia sekali gus juga dapat memanfaatkan beberapa bidang tanah milik koperasi terlibat yang masih kosong dan tidak digunakan untuk projek ternakan ini,” katanya.
Jelas beliau, untuk perancangan akan datang, Angkasa merangka menjadikan Biovet sebagai rakan kongsi strategik dan kini dalam peringkat kertas kerja.
BACA: Jadi jutawan melalui sistem pawah moden
“Pihak Biovet tidak hanya menyediakan infrastruktur dan kepakaran dalam ternakan malah juga memberi jaminan dari sudut pasaran seperti membeli produk dihasilkan dan menjualnya,” ujarnya.
Bagi Pengasas Biovet, Syed Naufal Syed Putra,kerjasama terbabit bukan hanya bertujuan meningkatkan produk ternakan negara malah bagi memulihkan bekalan makanan.
Menurutnya, pemulihan itu termasuk menangani masalah bekalan makanan dan bekalan makanan untuk ternakan termasuk palet dan dedak yang diimport terlalu tinggi sehingga menyebabkan peningkatan harga bekalan makanan terbabit.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: