Home Sukan Liga Super: Kedah lancar jersi baharu

Liga Super: Kedah lancar jersi baharu

Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hari ini memperkenalkan jersi baharu pasukan secara rasmi untuk saingan Liga Super 2022 yang akan membuka tirainya Jumaat ini.

Pelancaran jersi itu dilancarkan menerusi siaran langsung di media sosial yang menyaksikan penampilan beberapa pemain KDA FC seperti Marc Vales, Rodney Celvin dan Dechi Marcel yang memperagakan jersi di laman sendiri (home).

Sejak dikenali semula dengan gelaran baharu iaitu Sang Kenari, skuad KDA FC kini mendominasikan warna kuning pada jersi kali ini dengan jaluran hijau dan merah di bahu serta lilitan warna hijau di hujung lengan dan dilengkapkan dengan seluar yang juga berwarna kuning.

Bagi jersi tempat lawan pula, skuad Sang Kenari menampilkan jersi warna merah dengan lilitan hijau di leher dan lengan dan dikenakan dengan seluar hijau seperti warna kombinasi yang dipakai sejak beberapa musim lalu.

Bebeza dengan musim terdahulu, logo pasukan pada musim ini diletakkan pada bahagian tengah (dada) jersi yang melihatkan corak yang lebih padat bersama nama penaja DXN selaku penaja utama musim ini.

Selain itu tiga corak jersi berwarna oren, kelabu dan biru menjadi pilihan KDA FC bagi jersi penjaga gol untuk musim ini.

Menurut kenyataan KDA FC, jersi baharu musim ini kini dibuka untuk pratempahan dengan harga pasaran RM139 sehelai untuk jenis Authentic dan RM99 untuk Replica dan boleh di tempah secara dalam talian.

“Kebangkitan Sang Kenari dengan mengembalikan warna serba kuning bagi jersi home dengan rekaan mural padi disemat erat di dada jersi pemain melalui kesan kain timbul 3D.

“Manakala rekabentuk bagi jersi away pula berkualiti yang sama iaitu berwarna merah dengan rekaan berulang V melalui geometrik ‘V’ di bahagian dada.

“Kain jersi home dan away ini lebih eksklusif, ringan dengan hanya seberat 135 gsm dan dilengkapkan dengan logo silikon berwarna penuh dengan teknologi DEEP DRY Lotto,” katanya.

Menurut KDA FC lagi, stok jersi berkenaan akan tersedia pada 25 Mac depan dan pratempahan jersi home dan away dibuka dalam talian untuk 750 helai pertama di Shopee LOTTO MY | Prestige Sports https://shopee.com.my/product/408721197/15557840382/ – MalaysiaGazette