Home Politik Nornekman tak mahu tumpang nama ayah

Nornekman tak mahu tumpang nama ayah

Nornekman bersama hos Malaysia Gazette, Haslina Ar Kamaludin dalam sesi temubual di Studio MG malam tadi.

JOHOR BAHRU – Tiga hari berkempen, Nornekman Osman mengaku sudah  berada dalam kedudukan di bawah tekanan.

Calon dari Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berkata, ini kerana penyandang kerusi DUN Kempas iaitu bapanya, Allahyarham Datuk Osman Sapian telah memberi perkhidmatan terbaik untuk penduduk Kempas sejak beberapa penggal.

Disebabkan itu, beliau perlu membuktikan kemampuan diri untuk setanding Allahyarham bapanya jika  diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

“Sebenarnya saya under pressure (di bawah tekanan), sebab kalau saya tidak berkhidmat dengan baik..bukan saya Nornekman.

“Terpalit pulak nanti orang kata inilah anak Tok Man (Allahyarham Dato Osman Sapian)…menang guna nama ayah.

”Jadi, saya perlu ikhlas dan buktikan bahawa menjadi wakil rakyat ini bukanlah mudah,” katanya ketika menghadiri sesi Live bersama Malaysia Gazzete malam tadi.

Beliau berkata, pendekatan arwah ayahnya yang begitu mudah mendekati orang ramai serta sentiasa turun padang untuk mengambil tahu sendiri masalah penduduk adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Saya lihat sendiri arwah ayah begitu simple kerana boleh berada di mana-mana sahaja.

“Dia (Allahyarham) boleh berada di warung goreng pisang seorang diri. Dia boleh berada dengan kumpulan pemandu teksi

“Dia sebenarnya mahu mendapatkan maklum balas…mahu tahu masalah sebenar, jadi turun padang sendiri,” katanya.

Anak sulung bekas Menteri Besar Johor itu berpendapat meskipun terdapat tugas pegawai khas yang dilantik oleh wakil rakyat, namun wakil rakyat tetap perlu turun sendiri bertemu masyarakat.

“Memang kita ada pegawai yang akan sampaikan masalah penduduk, tapi tak sama dengan kita dapatkan maklumat sendiri daripada para penduduk.

“Memang perlu ada pembantu. Kita (Kempas) pengundi ada 61,000 orang dan bermakna penduduk di Kempas ada lebih daripada 61,000.

“Jadi, masalah yang perlu wakil rakyat hadapi dan tangani itu bukan setakat daripada para pengundi sahaja tetapi termasuk penduduk yang tinggal di kempas juga,” katanya. – MalaysiaGazette