Home Pendapat Pergolakan Rusia-Ukraine: Apa pandangan ASEAN?

Pergolakan Rusia-Ukraine: Apa pandangan ASEAN?

PENULIS terbaca di dalam suratkhabar tersohor antarabangsa berkenaan pendapat wartawan antarabangsa yang melihat isu Russia dan Ukraine juga pandangan ASEAN terhadap isu tersebut. Dikatakan kebanyakan negara ASEAN bersikap enggan masuk campur untuk menggesa Russia agar keluar dari mengasari Ukraine. Kebetulan penulis baru sahaja selesai menghadiri persidangan juga syarahan undang-undang antarabangsa dan ASEAN, maka penulis terpanggil untuk respons pada isu tersebut sebagai satu pandangan akademik.

ASEAN atau nama panjangnya Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, juga kadang kadang dirujuk sebagai negara-negara Asia Tenggara, ditubuhkan pada tahun 1967 adalah merupakan satu pertubuhan antara kerajaan serantau  yang terdiri daripada sepuluh negara di  Tenggara, yang menggalakkan kerjasama antara kerajaan dan memudahkan integrasi ekonomi,  politik, keamanan, ketenteraan, pendidikan, dan sosial budaya di antara anggotanya dan negara-negara lain di  Asia Tenggara. ASEAN terkadang dikritik sebagai tiada suara yang lantang di arena antarabangsa, kurang atau tiada mekanisma penguatkuasaan undang-undang ASEAN sehebat Kesatuan Eropah (EU).

Namun secara kajian ilmiah ASEAN menjadi satu bidang kajian menarik kedua selepas Kesatuan Eropah hingga ada pusat-pusat kajian bertaraf dunia tentang ASEAN seperti di German juga di Singapura. Editor tersebut mengkritik mengatakan negara-negara Asia Tenggara, selain berusaha mengeluarkan rakyat juga diplomatnya secara selamat dari Ukraine telah sempat mengeluarkan draf kenyataan ASEAN yang berbunyi seperti berikut yang dikeluarkan oleh Reuters dari Cambodia sebagai Pengerusi ASEAN:

Secara dasarnya ASEAN menyeru semua pihak yang terlibat untuk menggunakan kekangan yang maksimum, untuk melaksanakan dialog juga segala medium yang ada, termasuk hubungan diplomatik, untuk mengawal keadaan untuk mengelak konflik dari merebak juga untuk melihat resolusi secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Charter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dikatakan bahawa ASEAN tidak menyebut Russia secara jelas dalam kenyataan berkaitan konflik Russia-Ukraine tersebut. Kenyataan ASEAN dilihat sekitar mengatakan kekangan dan resolusi keamanan.

Sebagai contoh Menteri Luar Indonesia menyatakan tentang keperluan untuk menghormati kepada integriti dan kedaulatan negara dan serangan tentera pada Ukraine tidak diterima. Lalu Jakarta menyeru semua pihak menghentikan perseteruan dan mewujudkan resolusi keamanan melalui diplomasi.Perdana Menteri Malaysia pula Datuk Seri Ismail Yaakob berharap agar solusi keamanan dapat dicapai segera antara Russia dan Ukraine diikuti oleh penyelesaian resolusi konflik yang berjaya.

Perdana Menteri Cambodia Hun Sen yang mengalu-alukan Ismail Sabri ke Phnom Penh menyatakan hasrat yang sama agar situasi di Ukraine yang amat membimbangkan dan berharap pada solusi keamanan. Menteri Luar Thai menyatakan kebimbangan yang mendalam pada isu tersebut dan menyokong usaha berterusan untuk mencapai keamanan juga melalui dialog.Jurucakap Menteri Luar di Vietnam, dikatakan rakan sekutu Russia sekian lama juga pembeli senjata Russia, Vietnam memandang secara dekat krisis tersebut dan menyeru pihak-pihak berkenaan untuk mengamalkan kawalan kekangan kendiri, memajukan usaha dialog dan mempromosi usaha diplomasi secara aman mengikut lunas-lunas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan asas-asas undang-undang antarabangsa.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte, dikatakan senyap dalam isu tersebut sebelum ini dikatakan antara pemimpin ASEAN yang paling lantang bersuara jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN yang lainnya. Kementerian Luar Negara Filipina dikatakan berusaha mengeluarkan 181 rakyat Filipina di Ukraine tanpa menyebut konflik tersebut, begitu juga oleh jurucakap Presiden.. Setakat ini hanya Laos dan Brunei dikatakan tidak membuat sebarang kenyataan tentang isu Ukraine- Russia tersebut. Dalam isu Ukraine-Russia ini ASEAN dikatakan mempunyai kepentingan sendiri yang ketara. Segala kenyataan yang dikeluarkan oleh ASEAN dikatakan merupakan sebahagian dari ‘buku mainan’ (playbook) ASEAN yang lebih menumpukan pada dialog yang juga dikatakan sebahagian dari aspirasi moral.

Oleh itu ASEAN dilihat lebih kerap menggesa agar kekangan dibuat dan juga solusi keamanan. Keduanya banyak negara ASEAN melihat isu ini secara terpencil dan mereka tiada kaitan secara dekat dengan isu tersebut melainkan kesan ekonomi secara global. Ketiganya Russia ialah negara besar yang merupakan ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, juga pembekal senjata utama sejak Perang Dingin. Dikatakan tiada negara ASEAN yang pernah menyatakan melainkan secara retorik penentangan terhadap penguasaan oleh negara lain oleh ahli tetap Majlis Keselamatan sejak 2003. Dan keempat, dikatakan sesetengah kerajaan seperti Myanmar juga Laos juga Cambodia akan mendapat faedah strategik dengan kemerosotan kekuasaan Amerika Syarikat selepas perang dingin dan dikatakan faktor-faktor sebegini dikatakan mengapa ASEAN mengambil sikap neutral dan tidak memihak juga mengelak memihak mana-mana negara, juga melihatkan kepada strategi polarisasi Moscow kelak.

Maka beberapa perkara berkenaan ASEAN dan menyebabkan mengapa ASEAN berpandangan sedemikian dalam konflik Russia-Ukraine.Pertamanya ialah berkenaan prinsip-prinsip asas pembentukan ASEAN. Antaranya ialah:
 Saling menghormati kemerdekaan, kedaulatan, kesaksamaan, keutuhan wilayah, dan identiti kebangsaan semua negara
 Hak setiap Negara untuk memimpin kewujudan negaranya bebas daripada campur tangan luar, subversif, atau paksaan
 Tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman antara satu sama lain
 Menyelesaikan perbezaan atau pertikaian secara damai
 Penolakan ancaman atau penggunaan kekerasan
 Kerjasama yang berkesan sesama mereka

Sebagai contoh beberapa isu seperti di Myanmar isu Rohingya dilihat ASEAN tiada taring untuk mengatasinya secara kolektif malah mungkin melihat isu tersebut sebagai isu dalaman Myanmar.Namun begitu beberapa negara dalam ASEAN sebagai contoh pernah beberapa kali menjadi ahli tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam. Oleh itu ASEAN dilihat walau terdiri dari sejumlah negara kecil jika dibandingkan dengan Kesatuan Eropah, mempunyai peranan yang tersendiri dalam mempromosi keamanan sejagat dan kedaulatan negara tanpa perlu memihak kepada mana-mana negara secara jelas terutamanya dalam isu-isu antarabangsa melibatkan ketenteraan dan percaturan geopolitik dunia.

Ketika krisis Russia-Ukraine meruncing kenapa perlu tanya pandangan negara sekecil blok ASEAN? Penulis berpendapat ketika inilah blok negara-negara tertentu cuba mencari sekutu , sebagai satu cara mengenalpasti mana negara atau blok mana menyebelahi Russia, Ukraine, NATO dan sebagainya. Dunia sedang memerhati krisis di Ukraine-Russia bagai satu permainan catur dan bagaimanakah pengakhiran kelak.Malangnya kelak nyawa-nyawa manusia menjadi pertaruhan percaturan kuasa ini.

Oleh: Dr. Noor Dzuhaidah Osman
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Sains Islam Malaysia