Home Dunia Pesawat terbesar dunia musnah di Ukraine?

Pesawat terbesar dunia musnah di Ukraine?

Pesawat Antonov, AN-225. Foto: Antonov Company
KYIV – Pesawat terbesar dunia Antonov, AN-225, didakwa musnah semasa Rusia menyerang Ukraine, menurut para pegawai negara itu.
Pesawat dikenali sebagai ‘Mriya’ atau bermakna ‘impian’ yang  diparkir di lapangan terbang berhampiran Kyiv diserang Rusia, kata pihak berkuasa Ukraine sambil menambah mereka akan membaik pulih pesawat tersebut.
“Rusia mungkin telah memusnahkan Mriya. Namun mereka tidak dapat memusnahkan impian kami yang kuat, kebebasan dan demokrasi negara Eropah. Kami perlu menang,” kata Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menerusi akaun Twitternya seperti dipetik CNN.
Bagaimanapun, tiada pengesahan mengenai kemusnahan pesawat tersebut
Ciapan daripada Antonov Company berkata, ia tidak dapat mengesahkan ‘keadaan teknikal’ pesawat tersebut sehingga para pakar memeriksanya.
Menurut kenyataan syarikat pertahanan Ukraine, Ukroboronprom yang mengendalikan pesawat itu, Mriya telah musnah dan boleh dibina semula dan ia perlu ditanggung Rusia pada kos AS$3 bilion.
“Membaik pulih dianggarkan menelan belanja lebih AS$3 bilion untuk tempoh lima tahun,” kata kenyataan itu.
“Tanggungjawab kami ialah memastikan kos tersebut dibayar Rusia yang menyebabkan kerosakan yang dilakukan dengan sengaja kepada sektor penerbangan dan kargo Ukraine.
Dalam kenyataan terbaharu, syarikat tersebut berkata, pesawat yang berada di darat itu sedang menjalani penyelenggaraan berhampiran Kyiv pada 24 Februari lalu.
“Menurut pengarah Antonov Airlines, salah sebuah enjin dibuka untuk dibaiki dan pesawat tersebut tidak dapat berlepas pada hari tersebut walaupun arahan yang sewajarnya telah diberi,” katanya.
Tentera Rusia mendakwa telah menawan lapangan terbang Hostomel di mana pesawat AN-225 berada pada Jumaat lalu. – Agensi
(https://edition.cnn.com/travel/article/antonov-an-225-largest-plane-destroyed-ukraine-scli-intl/index.html)