Home PRN Johor Pesta bendera di Felda Medoi

Pesta bendera di Felda Medoi

Lebih 500 bendera mewakili kempat-empat parti berkibar di Felda Medoi, Segamat.

SEGAMAT – Kerancakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terasa bahangnya meskipun di kawasan luar bandar.

Di Felda Medoi di sini seperti contoh, bendera dan poster berwarna-warni parti politik pasti mencuri pandangan.

Tinjauan mendapati kemeriahan di kawasan Felda tertua di Segamat ini kerana mendapati bendera keempat-empat parti utama terpacak dari pintu masuk utama sampai ke kawasan kediaman.

Lebih 500 bendera sudah berkibar di kawasan tersebut mewakili Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang.

Bagi Pengerusi KRT Felda Medoi, Mohamad Majidi, pemasangan bendera dilakukan secara sistematik dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pemasangan dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta tempoh masa yang diberikan. Semua parti boleh meletakkan bendera di seluruh kawasan Felda dan dianggarkan 2,000 bendera akan berkibar di sini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelas Mohamad, penduduk di Felda Medoi mengamalkan sikap terbuka dan menerapkan amalan demokrasi sebagai rakyat Malaysia dalam memeriahkan suasana kempen.

“Ini termasuk pembahagian kawasan tempat letak bendera di samping memastikan kebersihan kawasan felda ini terjaga.

“Kalau ada bendera parti lawan terjatuh atau tercabut, kita saling memberitahu supaya membetulkan keadaan bendera, tiada istilah membuang atau memijak bendera parti lawan kerana kami menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 1,990 pengundi Felda Medoi yang terletak lebih kurang sembilan kilometer dari bandar Segamat telah dibuka sejak tahun 1960 kini mempunyai lebih 4,000 penduduk. – MalaysiaGazette