Home Pendapat Sarawak sambut kelahiran anak orang utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh

Sarawak sambut kelahiran anak orang utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh

Anak orang utan yang keempat dilahirkan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Sarawak.

HANYA 20 kilometer dari selatan Kuching, terdapat sebuah pusat hidupan liar yang menjadi pusat penghunian separa liar bagi orang utan. Pusat pemulihan orang utan terbesar di Sarawak ini dinamakan Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan terletak di dalam hutan semula jadi yang dikenali sebagai Hutan Simpan Semenggoh.

Baru-baru ini, Hutan Simpan Semenggoh dengan bangganya mengumumkan kelahiran seekor anak orang utan, antara 22 – 23 Januari 2022. Ini merupakan anak keempat bagi Analisa yang juga dilahirkan di pusat ini pada 1996. Kelahiran anak orang utan memang disifatkan sebagai berita menggembirakan demi perlindungan spesies tersebut, tetapi Hutan Simpan Semenggoh yang telah berkongsi dua berita istimewa pada awal tahun ini – iaitu kelahiran dua lagi anak orang utan. Maka tahun 2022 sudah menyaksikan tambahan tiga orang utan – pertama kali berlaku dalam sejarah pusat perlindungan ini.

Melindungi Kepelbagaian Biologi di Pusat Hidupan Liar Semenggoh

Tidak banyak tempat di dunia yang mampu menandingi kepelbagaian biologi di Sarawak. Lebih separuh muka bumi Sarawak dilitupi hutan hujan yang dipenuhi pelbagai flora dan fauna, kebanyakannya tumbuhan asli di sini. Hutan Simpan Semenggoh memainkan peranan penting dalam melindungi kepelbagaian hidupan liar dan tumbuhan di Sarawak, dengan bertindak sebagai pusat latihan untuk orang utan.

Selama lebih 25 tahun, warden-warden di Pusat Hidupan Liar Semenggoh telah melatih anak-anak orang utan, yang yatim piatu atau diselamatkan daripada kurungan, untuk mengajar mereka cara hidup dan berdikari di persekitaran hutan belantara. Pusat hidupan liar ini sekarang menempatkan sejumlah besar orang utan remaja dan dewasa muda separa liar yang sihat dan kini membiak dalam hutan simpan semula jadi.

Hutan Simpan Semenggoh masih menerima kunjungan orang utan separa liar yang telah berjaya dilepaskan ke hutan, bersama anak masing-masing. Mereka menghabiskan kebanyakan masa mereka merayau dalam hutan tetapi apabila sukar mencari makan, terutamanya semasa kekurangan buah-buahan dan tumbuhan yang boleh dimakan di dalam hutan, orang-orang utan kembali ke platform pemberian makan mereka untuk mendapatkan makanan tambahan.

Pemuliharaan Orang Utan di Sarawak

Diamanahkan untuk melindungi keselamatan dan memulihara kepelbagaian biologi menakjubkan hutan-hutan Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk terus melindungi flora dan fauna Sarawak. Antara program untuk memulihara pelbagai spesies hidupan liar termasuk melindungi habitat liar di lokasi seperti Taman Negara Batang Ai, Sanktuari Hidupan Liar Lanjak Entimau dan kawasan-kawasan perlindungan Sebuyau-Sedilu-Lesong.

Tinjau selidik juga dijalankan untuk menganggarkan populasi haiwan-haiwan ini. Tugas penting SFC yang lain meliputi ekopelancongan, pendidikan pemuliharaan dan aktiviti penglibatan masyarakat yang dilaksanakan dari masa ke masa sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan bagi orang utan dan habitat mereka. Kawasan-kawasan hutan terjejas dalam habitat juga dikenali pasti untuk menjalankan aktiviti pemulihan seperti menanam semula spesies tumbuhan semula jadi.

Untuk menyokong semua aktivitinya yang kian bertambah, SFC juga menjalankan program mengutip dana, yang termasuk menganjurkan program tajaan hidupan liar untuk membiayai dan menyokong pemuliharaan dan pemulihan haiwan ini. Program tajaan orang utan secara maya ini dibuka kepada semua warga dunia dan juga menjadi saluran untuk SFC menghebahkan maklumat tentang aktiviti pemuliharaan orang utan yang dijalankan di Sarawak.

Dana digunakan untuk menyokong projek-projek pemuliharaan, aktiviti pendidikan, pembelian makanan dan ubat-ubatan untuk orang utan (bila diperlukan). Tunjukkan sokongan dan kasih sayang anda secara simbolik kepada orang utan menerusi program tajaan orang utan. Dapatkan maklumat lanjut tentang mamalia besar yang lembut ini dan beri sokongan anda terhadap kerja-kerja pemuliharaan SFC dengan melayari laman Program Tajaan Orang Utan di: https://semenggoh.my/adopt-orang utan/

Pelancongan Menggalakkan Pemuliharaan

Menyedari bahawa pendidikan awam penting dalam usaha pemuliharaan orang utan, Hutan Simpan Semenggoh mengalu-alukan kunjungan pelawat setiap hari. Sesi memberi makan pada sebelah pagi (9-10 pagi) dan petang (3-4 petang) ialah waktu terbaik untuk pengunjung kerana mereka mungkin berpeluang melihat orang utan separa liar kembali ke platform pemberian makanan untuk menikmati makanan yang disediakan.

Selaras dengan prosedur operasi standard yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan, Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998 dan Peraturan-Peraturan 1999, SFC menganjurkan hanya dua sesi lawatan sehari, dengan maksimum 175 pelawat setiap sesi. Selain orang utan, Hutan Simpan Semenggoh juga merupakan habitat bagi flora dan fauna yang luar biasa termasuk tupai gergasi, tupai kerdil, ungka dan unggas. – MalaysiaGazette