Home Politik Saya tak berani ramal menang berapa kerusi PRN Johor – Tok Mat

Saya tak berani ramal menang berapa kerusi PRN Johor – Tok Mat

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika hadir pada perjumpaan bersama Jentera BN bagi membantu calon Barisan Nasional N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Bongsu Sepadu Jalan Peladang, Machap, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 28 FEBRUARI 2022.

KLUANG – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi peringatan kepada Barisan Nasional (BN) supaya lebih berhati-hati dan jangan cepat yakin dengan kemenangan besar terutamanya dengan adanya ‘pengundi putih.’

Sebaliknya beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat meluahkan kebimbangan berikutan kehadiran pengundi baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selain penyertaan parti-parti politik yang baharu bertanding.

“Ingat ya, kita sedang berhadapan dengan pengundi-pengundi yang baharu mendaftar Undi 18 itu. Sikap dan sokongan mereka itu kita belum boleh jangka lagi ketika ini. Kita belum kaji sikap mereka, bukan kita (BN) sahaja tetapi dilema ini juga dihadapi oleh parti-parti lain.

“Mereka ini kali pertama mengundi dan kita tidak boleh jangka apa-apa. Macam di Melaka, selepas penamaan calon saya sudah umum kita akan menang sekurang-kurangnya 18 kerusi. Yang ini, saya masih tidak boleh jangka lagi. Saya masih belum boleh feel lagi.

“Mungkin saya akan dapat jangka kerusi selepas kita buat dry run dan kajian sikap sekali lagi dalam tempoh 10 hari ini,” katanya selepas pertemuan dengan calon dan jentera DUN Machap di sini hari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama calon Barisan Nasional N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz (empat kiri) beramah mesra dengan penyokong selepas perjumpaan bersama Jentera BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Bongsu Sepadu Jalan Peladang, Machap, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 28 FEBRUARI 2022.

Tok Mat yang juga Pengarah PRN Johor mahu setiap jentera BN beringat dan tidak sesekali ambil mudah ‘pengundi putih’ yang kemungkinan tidak semuanya dalam satu-satu keluarga itu akan menyokong mereka.

“Pasal pengundi putih, sebagai contoh kalau ibunya Ketua Wanita UMNO bahagian, tidak semestinya seluruh keluarga akan menyokong UMNO.

“Saya hendak jentera kita pastikan kajian sikap juga dibuat betul-betul, jangan setakat tangkap muat sahaja. Setiap pengundi berbeza, tidak mahu kejadian kaji sikap di buat secara rambang. Saya takut apa yang berlaku pada 2018 akan berlaku lagi,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac.

Kali ini lebih 700,000 telah didaftarkan secara automatik sebagai pengundi baharu di Johor.

Manakala parti politik baharu seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan parti diasaskan di Sabah, Parti Warisan turut mengemukakan calon-calon mereka untuk bertanding. -MalaysiaGazette