Home Sukan Bersabarlah, Luqman masih muda – Teong Kim

Bersabarlah, Luqman masih muda – Teong Kim

Lim Teong Kim.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim percaya anak didiknya, Luqman Hakim akan mendapat peluang untuk bermain di luar negara.

Teong Kim juga berharap peminat bola sepak mempunyai impian yang sama kerana penyerang berusia 20 tahun itu masih muda dan mempunyai masa untuk berkembang.

“Luqman berada di KV Kortrijk hampir dua tahun. Pada masa ini, dia bermain dalam pasukan pertama. Walaupun dia tidak berpeluang bermain untuk pasukan pertama tetapi dia akan bermain dalam pasukan kedua.

“Ia masih baik untuknya. Dia masih muda dan mempunyai masa di sisinya.

“Jangan risau, sabar, dia akan berkembang pada masanya sendiri. Standard bola sepak di Belgium jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia.

“Malah dalam melatih pemain, komitmen, semangat, usaha, intensiti latihan adalah jauh lebih baik dan lebih berkualiti berbanding kelab Liga Super di negara ini,” katanya menerusi hantaran Facebook yang dikongsi oleh warganet di sini hari ini.

Semalam pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan kesediaan kelab itu untuk melepaskan bintang muda sensasinya, Arif Aiman Hanapi ke liga luar negara.

Namun, Tunku Ismail mahu Arif Aiman mendapat bimbingan daripada jurulatih dan sistem yang boleh meningkatkan permainannya.

Tunku Ismail turut menyatakan dua pemain kebangsaan, Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh yang masing-masing beraksi di luar negara ketika ini, tidak menunjukkan persembahan terbaik ketika mewakili Harimau Malaya. – MalaysiaGazette