Wednesday, November 27, 2024
Home Politik Bukan PH punca PRN Johor- Salahuddin Ayub

Bukan PH punca PRN Johor- Salahuddin Ayub

Salahuddin Ayub

BAKRI – Pakatan Harapan (PH) menegaskan pencetus kepada polemik politik di negara ini bukan daripada pihaknya.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, PH  sudah berusaha untuk akur akan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah namun ia berlaku sebaliknya.

“Saya harap Agong sedar PH bukan cuba bermain politik namun pemimpim parti-parti dalam kerajaan bermain politik sehingga rakyat dibebankan dengan PRN Johor,” katanya kepada media hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai itu mengulas titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 pada Isnin.

Mengulas mengenai itu, Salahuddin berkata, segala-gala yang disebut Agong sudah dilaksanakan sekian lama dengan mementingkan rakyat.

“Di sini saya ingin menegaskan PH telah membuktikan kita telah berusaha untuk mengenepikan perbezaan antara kita untuk menyahut seruan supaya negara dan rakyat diutamakan di kala negara masih lagi berperang dan bergelut isu pandemik Covid-19.

“Kita telah menandatangani dan terdapat progres yang saya rasa sangat penting untuk rakyat dan negara manfaatkan.

“Antaranya peruntukan Covid-19 yang kita pohon, penumpuan kepada pemulihan ekonomi negara, dapat meminda Perlembagan Negara, isu Sabah dan Sarawak dan juga yang terkini insya-Allah pada sesi ini kita akan kemukakan Akta Lompat Parti.

“Ini adalah suatu komitmen yang ditunjukkan oleh PH, tetapi malangnya ia seakan-akan dimusnahkan dengan PRN Johor yang sedang kita hadapi,” katanya lagi.

Dalam pembukaan sidang Parlimen Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan ahli politik supaya fokus menjaga kepentingan rakyat.

Peringatan itu diberikan dalam dua rangkap pantun yang menurut baginda sebagai kesinambungan tiga rangkap pantun pada ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat tahun lalu.

Baginda bertitah, jika semua pihak bersatu hati semua kerja yang susah akan menjadi senang.

Gunung Kinabalu sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.
“Busana tradisi kain bersulam,
Warnanya jingga berawan larat,
Cukuplah berpolitik siang dan malam,
Fokuskan menjaga kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette