Home Nasional Fasa endemik penuh tertakluk pengumuman WHO

Fasa endemik penuh tertakluk pengumuman WHO

Hishammuddin Hussein Omicron new Covid-19 variant endemic phase
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Fasa endemik penuh tertakluk kepada pengumuman yang hanya dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, fasa ini merupakan fasa transisi atau peralihan sebagai persediaan sebelum kita melangkah masuk ke fasa endemik sepenuhnya.

“Seperti saya umum sebelum ini, Kuartet telah bersetuju bahawa negara memerlukan satu exit strategy iaitu Fasa peralihan ke endemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hishammuddin, kerajaan juga mengambil maklum bahawa rakyat melihat banyak negara telah memberi pelbagai kelonggaran.

“Inilah juga yang sedang kerajaan usahakan bagi mengurangkan gangguan dan memberi lebih kebebasan kepada rakyat.

“Sekolah telah dibuka, rentas negeri telah dibenarkan malah sempadan negara bakal dibuka tidak lama lagi. Kerajaan tidak akan menariknya semula,” ujarnya.

Namun bagi negara kita, menurutnya, keutamaan kerajaan terutama Kuartet adalah membuka secara selamat atau Reopening Safely.

Ini juga selari dengan titah Baginda Yang diPertuan Agong semalam agar peralihan negara menuju fasa endemik dibuat secara berhati-hati, katanya.

“Ini bermakna, di Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ kelak, rakyat akan lebih bebas namun langkah-langkah keselamatan, SOP serta garis panduan masih perlu dipatuhi dengan penuh disiplin.

“Ia termasuklah pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan diri,” katanya.

Mengenai perkembangan gelombang Omicron, hasil pemantauan rapat mendapati decoupling trend iaitu buat masa ini bilangan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi dan kematian akibat Covid-19 ialah 80 hingga 90 peratus lebih rendah berbanding pelaporan pada Ogos tahun lalu walaupun kes lebih tinggi ketika ini.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau decoupling trend untuk dua minggu mendatang untuk melihat sama ada ia berkekalan atau berubah untuk diambil kira dalam melaksanakan kelonggaran-kelonggaran tambahan pada masa akan datang, jelasnya.- MalaysiaGazette