Home Nasional Ikhtiar BN Johor: Bantuan RM500 kepada mahasiswa, RM150 untuk pelajar

Ikhtiar BN Johor: Bantuan RM500 kepada mahasiswa, RM150 untuk pelajar

Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad menunjukkan Ikhtiar BN Johor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor memberi khabar gembira kepada golongan belia atau Orang Muda Johor (OMJ) apabila komponen masyarakat yang paling penting di negeri itu menjadi antara fokus utama.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, bagi membangun potensi dan mencipta peluang kepada OMJ, parti itu akan melaksanakan enam inisiatif utama dalam tempoh lima tahun.

“Antaranya adalah bantuan kewangan tahunan RM500 kepada semua mahasiswa Johor dari keluarga B40 dan mewujudkan lebih banyak rumah transit kepada OMJ yang layak dengan harga sewa yang amat berpatutan di kawasan-kawasan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Ikhtiar BN Johor di sini hari ini.

Ikhtiar tersebut dilancarkan oleh Pengarah Pilihan Raya Johor yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hasni menambah, BN Johor sentiasa turut memastikan kemajuan ekonomi negeri dapat dinikmati bersama semua bangsa negeri itu secara menyeluruh menerusi Johor Berkebajikan yang terdapat lapan inisiatif khusus akan dilaksanakan.

Jelas belia, ia termasuk pemberian bantuan kewangan tahunan sebanyak RM150 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000.

Pada masa sama, ujar beliau, kos penjagaan anak juga akan dikurangkan dengan perluasan taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT).

Ujarnya, taska itu akan menawarkan yuran penjagaan anak yang berpatutan kepada semua Bangsa Johor.

“BN Johor turut kekal komited untuk menegakkan syiar Islam dan kemajmukan Johor melalui enam inisiatif antaranya, menaik taraf Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) ke status Kolej Universiti dan memperluaskan cukai tanah nominal yang kini diberikan kepada masjid dan surau kepada rumah ibadat bukan Islam.

“Selain itu, kawasan Felda di Johor merupakan kawasan Felda kedua terbesar di Malaysia di mana enerasi penerus Felda harus diupayakan dalam mendepani cabaran masa depan yang rencam.

“BN Johor juga akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat desa dengan lima inisiatif utama, antaranya adalah memudahcara pembinaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan melantik wakil Kerajaan Negeri dalam Lembaga Felda

“Bagi memastikan tahap infrastruktur Felda sentiasa terjaga, penyelenggaraan jalan di kawasan Felda akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

“Tidak dilupakan juga BN Johor akan turut meningkatkan kualiti hidup Masyarakat Desa Johor dengan empat inisiatif utama, antaranya adalah meningkatkan kualiti hidup Masyarakat Desa Johor dalam pelbagai aspek sosio-ekonomi seperti penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan modal insan.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, BN Johor akan melaksanakan Pelan Rejuvenasi Desa Johor secara berperingkat,” katanya. – MalaysiaGazette