Home Politik Intan Nadira optimis peluang Pejuang cerah di DUN Sungai Balang

Intan Nadira optimis peluang Pejuang cerah di DUN Sungai Balang

Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) N.16 Sungai Balang, Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal (kanan) mengedarkan risalah serta menyantuni penduduk tempatan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Seri Menanti Laut, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2022.

MUAR – Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) N16 Sungai Balang, Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal optimis partinya mempunyai peluang cerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Anak muda berusia 28 tahun itu berkata, masyarakat setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang sudah mengenali jenama Pejuang dan memberi respons yang baik terhadapnya.

“Selama keluar berkempen dalam tempoh empat hari ini, penerimaan semua pihak dari kelompok anak muda mahu pun warga emas semuanya amat baik, daripada 10 individu yang saya jumpa hanya satu yang menolak.

“Sebab itu saya yakin Pejuang mempunyai peluang untuk menang pada PRN Johor kerana apabila saya berkempen di sini ramai yang dah kenal. Jadi ini merupakan permulaan yang baik untuk parti,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menyerahkan risalah dan bertemu penduduk Kampung Seri Menanti Laut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua Pejuanita Muda Johor itu berkata, beliau sudah mula turun ke lapangan sejak September tahun lalu dan telah meneroka hampir setiap pelosok negeri Johor untuk bertemu rakyat.

Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal

Selain itu, beliau juga sudah mengenal pasti masalah dan kekangan yang dihadapi oleh masyarakat terutamanya mereka yang berada di kawasan Sungai Balang.

“Sekiranya saya diberi peluang sebagai wakil anak muda di DUN Sungai Balang, saya akan menaik taraf ekonomi rakyat di sini yang rata-ratanya terdiri daripada nelayan dan petani.

“Kawasan Sungai Balang ini tidak jauh dari bandar Muar namun banyak yang ketinggalan dari segi pembangunan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Intan Nadira turut berhasrat untuk membawa suara wanita muda ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya berpeluang memenangi kerusi DUN Sungai Balang.

Intan Nadira, lulusan Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital dari Universiti Teknologi Mara, merupakan pereka grafik profesional dan memiliki beberapa rangkaian perniagaan.

DUN Sungai Balang menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Intan Nadira dengan calon Parti Keadilan Rakyat, Abdullah Sahid; calon Barisan Nasional (BN), Selamat Takim dan calon Perikatan Nasional, Datuk Zainudin Sayuti.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Sungai Balang dimenangi Zaiton Ismail dari BN dengan majoriti tipis 174 undi. – MalaysiaGazette