Home Politik Ismail kesal banyak projek terbantut selepas PRU14

Ismail kesal banyak projek terbantut selepas PRU14

Calon Barisan Nasional (BN) N.07 Bukit Kepong, Ismail Mohamad hadir pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di IKTBN Pagoh, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Bekas Ahil Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang yang kini dikenali sebagai DUN Bukit Kepong, Ismail Mohamad terkilan kerana banyak projek-projek yang dilaksanakan beliau tidak diteruskan selepas melepaskan jawatan.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, banyak pembangunan terencat selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dan selepas Perikatan Nasional (PN) memegang kawasan itu.

“Banyak usaha-usaha yang saya cuba bangunkan terencat dan saya cuba sebaik mungkin untuk kembalikan balik apa yang saya rancang.

“Saya yakin rakyat di sini memang memerlukan pemimpin yang dapat membuat penambahbaikkan ataupun meneruskan usaha-usaha berkaitan perumahan dan banjir, itu yang penting.

“Selain itu bantu masyarakat meningkatkan ekonomi. Itu usaha yang kita akan teruskan,” katanya selepas mengadakan ceramah umum di Felda Sri Jaya, di Pagoh semalam.

Sebelum ini, Ismail mendakwa banyak projek-projek perumahan yang dilaksanakan ketika memegang jawatan ADUN Bukit Serampang terbengkalai dan tidak diteruskan.

Oleh itu, Ismail meminta rakyat DUN Bukit Kepong dan khususnya pengundi Johor menolak PH mahupun PN yang dilihat telah mengabaikan mandat yang diberikan rakyat pada 2018 lalu.

Ditanya mengenai kenyataan pencabarnya, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang yakin akan dapat mempertahankan kerusi itu, Ismail berkata, beliau mempunyai peluang untuk menang sama seperti Sahruddin.

“Saya anggap ini pertandingan di lapangan yang sama sahaja, masing-masing ada kelebihan cumanya saya pernah jadi wakil rakyat di sini,” jelas Ismail lagi.

Ismail berkata, sepanjang kempen ini beliau akan memperhebatkan usaha mengenal pasti pengundi putih. Kita memang jaga pengundi putih.

”Kita akan buat strategi macam di Melaka dan saya yakin kita akan menang besar di Johor,” katanya.

DUN Bukit Kepong menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Ismail (BN); bekas ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal; calon Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Nurafiqah M Zulkifli; dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Md Taib Md Suhut. – MalaysiaGazette