Home Nasional Jumpa saya kalau tak puas hati, jangan ganggu Fong Yew – Najib

Jumpa saya kalau tak puas hati, jangan ganggu Fong Yew – Najib

cash aid M40 B40 Najib Razak Anwar Ibrahim Sapura Energy debate 1MDB debt
Najib Razak

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Najib Razak mencabar Tony Pua untuk menuduhnya mencuri RM2.6 bilion kerana tuduhan itu membolehkan beliau menyaman Ahli Parlimen DAP itu seperti mana yang dilakukan terhadap pemimpin Parti Keadilan Rakyat kerana melakukan perkara sama minggu lalu.

Bekas perdana menteri itu menegaskan, beliau didakwa di mahkamah atas dakwaan Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dan bukan mencuri.

Katanya, pertuduhan yang dihadapinya tidak sama dengan pendakwaan Lim Guan Eng dan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Najib berkata, beliau juga tidak didakwa atas kesalahan penggunaan aset atau meminta/menerima rasuah di bawah kanun keseksaan.

“Saya didakwa 9 kali kerana didakwa menerima RM2.6 bilion dan dituduh 7 kali lagi di bawah akta AMLA yang sama kerana mengembalikannya kepada pengirim selepas 4 bulan kemudian – bukan mencuri atau menggunakannya untuk tujuan peribadi.

”Malah, RM642 juta yang dihantar oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi (seperti yang dibuktikan di mahkamah) ke akaun di bawah nama saya juga telah diagihkan untuk pelbagai inisiatif CSR (tanggungjawab sosial korporat) secara langsung atau melalui parti politik – juga bukan untuk kegunaan peribadi walaupun saya bebas untuk menggunakan dana tersebut seperti mana yang saya mahu,” tegas Najib.

Najib membuat kenyataan keras itu selepas Pua mengkritik Lembaga Sekolah Menengah Foon Yew (Fong Yew) yang menerima kunjungan beliau baru-baru ini.

Sekolah Menengah Foon Yew yang terletak di Seri Alam dekat ini adalah sekolah persendirian Cina terbesar di Malaysia.

Pua dalam hantaran di Facebook semalam menulis: “Apabila mengundang penjenayah terbesar negara yang menyelewengkan jutaan ringgit, kalau pun bukan berbilion ringgit milik pembayar cukai, kleptokrat yang dikenali seluruh dunia untuk bercakap di sekolah – menjelang PRN Johor, anda tahu yang ada sesuatu yang benar-benar rosak dalam masyarakat.

”Lembaga pengelola sekolah menunjukkan contoh terburuk yang mungkin untuk anak-anak kita, memberitahu mereka tidak mengapa untuk menipu, berbohong, mencuri, menyalahgunakan kuasa dan membuli orang yang tidak berdaya, selagi anda kaya dan berkuasa”.

Ahli Parlimen Pekan yang berang dengan kenyataan Ahli Parlimen Damansaara itu berkata, jika Pua adalah masalah boleh terus berjumpanya, bukan mengkritik lembaga pengarah sekolah yang telah melunaskan tanggungjawab dengan baik.

Najib berkata, kenyataan Pua adalah bukti pemimpin DAP itu mengamalkan politik dendam dan ugutan hingga menyebabkan parti itu semakin dijauhi rakyat termasuk dalam kalangan masyarakat Cina.

Beliau menyifatkan Pua berniat jahat dan mahu mendapat perhatian apabila membidas sekolah berprestij yang telah melahirkan ramai rakyat Malaysi terkemuka semata-mata kerana kehadirannya.

”Tidak kira isu beliau dengan saya sebagai saingan politiknya namun serangan Ahli parlimen Damansara terhadap sekolah ini atau mana-mana sekolah kerana membenarkan penceramah hadir di sekolah sama sekali tidak wajar bagi mana-mana ahli politik.

”Tuduhan yang dilemparkan kepada Lembaga Sekolah Tinggi Foon Yew sama sekali tidak wajar. Siapa Pua untuk menilai integriti lembaga yang telah mengembangkan sekolah menengah itu menjadi sekolah menengah Cina terbesar di Malaysia dengan sejarah 71 tahun?,” tempelak Najib.

Secara sinis, Najib berkata, tindakan Pua itu hanya menggambarkan kekecewaan lama DAP kerana tidak dapat melantik ‘orang mereka’ dalam lembaga pengarah di salah satu institusi pengajian yang paling dihormati di Malaysia dengan tiga kampus di Johor.

”Lebih-lebih lagi, saya adalah perdana menteri yang mengumumdan meluluskan pembangunan sekolah menengah Cina berprestij ini bagi kampus di Bandar Seri Alam dengan kos pembangunan RM82 juta.

”Sebelum saya mengumumkan kelulusan kampus ketiganya di Bandar Seri Alam, saya juga Menteri Pendidikan yang meluluskan kampus Kulai ketika itu,” katanya.

Najib berkata, beliau cukup terharu apabila berpeluang melawat dan melihat sendiri perkembangan Foon Yew Cawangan Bandar Seri Alam dan amat terharu dengan sambutan yang diterima di sekolah tersebut.

Soalnya lagi, adalah beliau bersalah apabila diminta untuk bercakap beberapa perkataan dengan pelajar dan fakulti sekolah tersebut dan melihat sekolah berkenaan yang dibuka pada tahun lepas.

”Kepada Pua, teruskan kerah tenaga dan perhatian anda kepada saya. Tetapi biarkan sahaja sekolah dan warganya menlaksnaakan tugas-tugas murni mereka,” kata Najib. – MalaysiaGazette