Home Ekonomi Kutipan cukai disasar RM139 bilion tahun ini – PM

Kutipan cukai disasar RM139 bilion tahun ini – PM

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan modus operandi baharu sindiket penipuan yang menggunakan nama pegawai lembaga itu bagi membuat perolehan serta pembelian aset daripada syarikat perabot.-Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan percaya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan mengulangi pencapaian tahun lalu dengan sasaran kutipan cukai RM139 bilion pada tahun ini.

Jumlah kutipan bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 17 peratus  kepada lebih RM140 bilion berbanding tahun 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan yang amat membanggakan itu juga adalah usaha transformasi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang merentasi 28 perkhidmatan percukaian secara dalam talian, dan enam aplikasi digital di bawah pendekatan Go Digital for Future Services

Untuk mencapai sasaran itu, LHDNM perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan.

Ini termasuklah mengenal pasti sektor ekonomi baharu dan melaksanakan undang-undang percukaian dengan telus, berkesan dan cekap.

Secara tidak langsung, usaha ini akan meningkatkan kepercayaan Keluarga Malaysia dan memastikan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab masing-masing, kata beliau.

Ismail Sabri menambah, pada tahun ini, kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan tumbuh sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus, selari dengan unjuran oleh Dana Kewangan Dunia (IMF) (5.7%) dan Bank Dunia (5.8%).

Unjuran itu akan didorong oleh Bajet 2022 yang mengembang, serta pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial; penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi; serta permintaan luar yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan.

”Saya yakin pertumbuhan ini akan turut disumbang oleh kerjasama berterusan antara Kementerian Kewangan dan LHDNM, terutamanya berkenaan inisiatif Bajet 2022.

”Ini termasuklah pelaksanaan Cukai Makmur yang akan dikenakan secara one-off kepada syarikat yang meraih keuntungan luar biasa sepanjang tempoh pandemik. Hasil dari cukai ini akan digunakan untuk memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman di masa hadapan,” katanya sempena Hasil Hasil 2022.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Perdana Menteri menambah, kerajaan juga akan melaksanakan Tax Identification Number, atau TIN, dan Sijil Pematuhan Cukai (TCC) untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengumpulan hasil
negara.

Pada masa yang sama, mulai tahun 2023, semua peniaga yang ingin mendapatkan projek dengan kerajaan dikehendaki mempunyai Sijil Pematuhan Cukai sebagai salah satu syarat utama.

”Melangkah ke hadapan, saya pasti MOF dan kesemua agensi di bawah MOF akan terus komited untuk menyumbang kepada sebuah Kerajaan yang responsif, serta bertanggungjawab dan reformis dari segi fiskal. 39.

”’Selain fokus kepada menambah baik pasaran buruh negara dan memperkasa sektor perniagaan, salah satu penekanan yang akan diberikan oleh MOF termasuklah reformasi fiskal,” ujarnya sambil memberitahu kerajaan akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan pengurusan fiskal negara.

Ini termasuklah merencana Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) yang menekankan sasaran pendapatan yang jelas, sejajar dengan amalan global terbaik, serta sistem cukai yang lebih telus, adil dan saksama berlandaskan penggunaan data raya. – MalaysiaGazette