Home Politik MUDA anak putik DAP, presidennya pencadang calon parti itu – Sanusi

MUDA anak putik DAP, presidennya pencadang calon parti itu – Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor hadir ke Mesyuarat Perikatan Nasional bersama calon-calon yang akan bertanding Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) 2022 di Bilik Gerakan Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 MAC 2022.

KOTA TINGGI – Pengarah Pilhan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak menolak kemungkinan pengundi baharu tidak akan mengundi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, ia susulan tindakan DAP yang secara terang-terangan menyokong calon parti itu sekaligus menguatkan andaian bahawa MUDA mengikut telunjuk parti yang dianggap cauvanis.

“MUDA itu anak putik DAP, presiden dia (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) jadi pencadang calon DAP. Itu terang-terang dia alat DAP.

“Jadi orang muda Johor takkan beri undi kepada parti MUDA, itu pandangan saya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui diĀ  Bilik Gerakan Utama PN di sini hari ini.

Sebelum ini, pendaftaran secara automatik pemilih berusia 18 tahun ke atas sudah diwartakan dan berkuat kuasa 15 Disember lalu.

Pindaan Perlembagaan yang diwartakan pada 25 November lalu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menetapkan tarikh 15 Disember sebagai tarikh mula berkuat kuasa.

PRN Johor merupakan pentas politik pertama yang menyaksikan individu berusia 18 tahun layak untuk mengundi.

Jumlah pengundi di Johor kini mencatatkan pertambahan hampir 30 peratus, dengan pertambahan 749,731 pengundi muda susulan pendaftaran automatik Undi18. – MalaysiaGazette