KOTA TINGGI – Semua 10 calon wanita Barisan Nasional (BN) yang dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diyakini boleh menang, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Malah mereka ini juga mampu memberi perkhidmatan terbaik dan membela nasib rakyat.
Noraini yang juga Ketua Wanita Pergerakan BN menambah, setakat ini kesemua calon itu memberi fokus terbaik dalam menjalankan kempen di kawasan masing-masing.
”Mengikut kepada pelan kempen, kita mahu calon-calon berjumpa seramai mungkin pengundi setempat untuk meluaskan lagi peluang untuk menang.
“Lebih ramai pengundi yang mereka temui, peluang untuk menang lebih cerah,” katanya ketika ditemui semasa lawaatan ke kawasan Rumah Rakit Orang Asli FELCRA Sungai Layau, Kota Tinggi.
Lawatan Noraini dan jentera Wanita BN itu untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) N38 Penawar, Fauziah Misri.
Dalam pada itu, Noraini turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan parti BN, bahagian pusat dan negeri kerana memberikan kepercayaan kepada golongan wanita untuk menjadi calon mewakili parti tersebut dalam PRN Johor.
Katanya, keputusan BN mewakilkan 10 calon wanita dalam PRN Johor kali ini menepati kehendak Wanita BN selepas perkara itu diusulkan. – MalaysiaGazette