Home Politik 14 calon bukti BN iktiraf kemampuan wanita – Hasni

14 calon bukti BN iktiraf kemampuan wanita – Hasni

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bercakap kepada media selepas Majlis Bicara Motivasi dan Jati Diri Bangsa, Pelancaran Antologi Puisi di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2022.

PONTIAN – Pemilihan 14 calon wanita oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan parti itu yakin dengan kemampuan wanita menyumbang kepada pembangunan negeri itu.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohamad berkata, golongan wanita perlu bersama rakyat untuk menjadi pembuat dasar jangka panjang dalam membawa Johor negeri yang paling maju di negara ini.

Justeru menurut beliau, calon wanita yang dipilih adalah pemimpin terkenal dan mampu menjadi tonggak Johor pada masa akan datang.

“BN mengambil keputusan mengetengahkan 14 calon wanita BN kerana parti itu yakin dengan kemampuan golongan itu bagi kemajuan dan kejayaan Johor.

“Sebab itu keyakinan diterjemahkan apabila calon wanita akan terus bersama masyarakat untuk ketengah dasar BN jangka panjang sebagai parti berkeyainan membawa johor sekali lagi sebagai negeri penting di Malaysia.

“Jadi kita berharap calon wanita tidak menghampakan dan tunjukkan kebolehan mereka serta saya yakin mereka yang dipilih merupakan tokoh-tokoh wanita yang mampu jadi tonggak Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Ceramah Bangsa & Melancarkan Antologi Puisi di Rumah Citra Sri Pinang di sini hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bergambar bersama para penerima Anugerah pada Majlis Bicara Motivasi dan Jati Diri Bangsa, Pelancaran Antologi Puisi di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2022.

Antara calon Wanita BN ialah Haslinda Salleh di DUN Tenang, Nur Fara Samsudin (Maharani), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) dan Rashidah Ismail (Pasir Raja).

Turut dicalonkan, Norliza Noh (Johor Lama), Fauziah Misri (Penawar), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan Khairin Nisa Ismail (Serom).

Ditanya peranan beliau sebagai poster boy sepanjang kempen PRN, Hasni yang juga Menteri Besar berkata, ia hanyalah istilah semata-mata.

“Ia adalah istilah yang diputuskan BN agar saya menjadi ketua barisan wakil rakyat yang dicalon pada PRN.

“Jika diberi mandat, saya akan diberi tanggungjawab untuk pikul amanah bagi memimpin Johor dan itulah maksud poster boy,” katanya.

Pada majlis pengumuman calon sebelum ini, BN mengemukakan Hasni sebagai poster boy sekali gus bakal dilantik Menteri Besar Johor sekiranya BN menang PRN Johor pada 21 Mac ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak dan penyokong BN perlu memberikan sokongan memastikan kemenangan parti. – MalaysiaGazette

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Bicara Motivasi dan Jati Diri Bangsa, Pelancaran Antologi Puisi di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2022.