Home Politik Apa maksud saya senyap? Najib cakap mengarut – Muhyiddin

Apa maksud saya senyap? Najib cakap mengarut – Muhyiddin

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra ketika hadir pada Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional (PN) "Demi Bangsa Johor" di Hotel Trove, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menafikan bahawa beliau ‘senyap’ berbanding bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau kelihatan senyap kerana media tidak melaporkan apa yang beliau ucapkan.

Tambah Muhyiddin, tidak seperti Najib, dirinya tidak bercakap sebarangan sebaliknya hanya mengucapkan sesuatu secara berfakta.

“Apa maksud anda saya senyap? Najib bercakap mengarut sebab dia berada dalam konflik. Macam mana anda boleh percaya kepada dia?

“Saya bercakap berdasarkan fakta. Saya tidak senyap, ramai yang tidak melaporkan apa yang saya ucapkan,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Ikrar Perikatan Nasional Demi Bangsa Johor.

Seorang wartawan bertanya kepada Muhyiddin mengapa beliau kelihatan senyap jika dibandingkan dengan Najib.

Bekas perdana menteri itu kelihatan aktif sepanjang tempoh kempen PRN Johor yang telah berlangsung selama enam hari.

Sebuah portal berita melaporkan, Najib memulakan kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Johor pada Sabtu dengan mengelilingi Pagoh, iaitu kawasan Muhyiddin yang merupakan bekas timbalannya.

Portal itu melaporkan Muhyiddin dibayangi oleh Najib dan berdiam diri ketika berkempen untuk Perikatan Nasional (PN) sejak penamaan calon selesai.

Biarpun Muhyiddin berada di Pagoh dan Muar untuk menunjukkan sokongannya kepada calon PN dan menghadiri beberapa majlis, namun Presiden Bersatu dan Pengerusi PN itu kelihatan agak senyap.

Najib pula telah meluangkan masa pagi Ahad bersama komuniti Cina di Perling dan ramai yang ingin bergambar dengan beliau walaupun terpalit dengan skandal 1MDB.

Malah di media sosial juga, Najib nampak sibuk membuat hantaran di Facebook manakala Muhyiddin pula terus senyap.

Ikrar Perikatan Nasional Demi Bangsa Johor merupakan manifesto parti itu kepada pengundi di Johor yang mengandungi 8 tunjang, 24 strategi dan 145 pendekatan.-MalaysiaGazette