Home Politik Chin Tong akui Najib sering dapat tumpuan

Chin Tong akui Najib sering dapat tumpuan

Chin Tong ketika berceramah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Mutiara Rini Skudai, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Sambutan luar biasa rakyat negeri Johor terhadap kehadiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus menjadi fokus dalam ceramah perdana yang disampaikan oleh dua pemimpin kanan Pakatan Harapan malam tadi.

Kehadiran Najib untuk berkempen bagi pihak BN di negeri itu seolah-olah tidak disenangi oleh Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Beliau mendakwa kehadiran Najib telah menenggelamkan penampilan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai calon menteri besar BN.

Menurut calon DAP DUN Perling itu, beliau melihat Najib sebagai calon menteri besar BN berbanding Hasni.

“Dan sekarang ini nampaknya sejak hari pencalonan, siapa calon MB? Bossku Najib ini calon MB kerana Hasni telah tengelam. Tak nampak Hasni, hanya nampak bossku sahaja,” katanya sepintas lalu.

Ceramah perdana PH diadakan di hadapan Pusat Khidmat Amanah DUN Kota Iskandar di Taman Mutiara Rini yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu

Najib pada Ahad lalu telah turun ke Perling untuk membantu kempen calon BN Tan Hiang Kee yang merupakan pesaing kepada Chin Tong.

Ketika mengunjungi medan selera di Taman Bukit Indah kebanyakan pengunjung berbangsa Cina mengerumuni mereka tetapi perhatian lebih tertumpu kepada Najib berbanding calon MCA itu sendiri.

Hiang Kee ketika ditanya apakah dia bimbang imej Najib membayanginya, berkata “Tidak mengapa kerana kita kongsi tumpuan”.

“Lagipun, kami adalah daripada gabungan politik yang sama. Saya berasa berbesar hati kerana beliau sudi membantu saya dalam pilihan raya ini,” katanya kepada wartawan.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berucap pada Ceramah Mega Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Mutiara Rini Skudai, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

Sementara itu Mohamad dalam ceramahnya juga menyatakan rasa kehairanan bagaimana Najib yang telah didakwa di mahkamah dan didapati bersalah atas beberapa pertuduhan masih diberikan sambutan sebagai hero oleh rakyat.

“Dan rakyat pula didik entah macam mana orang yang didapati bersalah oleh dua mahkamah masih jadi hero datang di Johor ini.

“Kalaulah pergi di negara barat barangkali ada demonstrasi menentang terhadap beliau kerana mereka amat anti rasuah, amat benci kepada penyelewengan,” katanya.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac depan.  Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah keseluruhan itu, 22,536 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,958 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,578 pula anggota polis dan pasangan mereka.-MalaysiaGazette