PENAWAR – Fauziah Misri berhasrat menjadikan Kampung FELCRA Sungai Layau sebagai pusat pelancongan untuk menjana ekonomi penduduk di kawasan setempat sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat pada 12 Mac ini.
Calon wanita Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar itu berkata, hubungan dengan masyarakat bukan baru dijalin sebaliknya pengalaman dalam Wanita UMNO Johor sejak puluhan tahun lalu telah membiasakan dirinya dengan penduduk di situ.
Katanya, pengalamanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika urusan bantuan banjir dan Covid-19 memudahkan lagi urusan membantu rakyat.
“Apa yang sudah saya lakukan untuk masyarakat berpuluh tahun lalu, saya tetap akan teruskan usaha tersebut. Semuanya demi kesejahteraan penduduk Penawar,” Katanya kepada wartawan MalaysiaGazette di Perkampungan Orang Asli PDM Sungai Layau, Penawar, hari ini.
Terdahulu Fauziah sempat meninjau aktiviti nelayan dan orang Asli yang membuat kraftangan di perkampungan tersebut dan dalam pertemuan tersebut beliau menyatakan hasrat untuk membantu mereka.
“Saya akan bantu mereka supaya seiring dengan kemajuan di tempat-tempat lain dan akan cuba memasarkan produk kraftangan mereka di luar sana,”
“Kalau nak diikutkan, Sungai Layau ini sudah banyak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Dah banyak pembangunan dilakukan oleh BN,”
“InsyaAllah, saya ingin menjadikan Sungai Layau sebagai pusat pelancongan seperti yang dinanti-nantikan masyarakat itu sendiri,” kata Fauziah.
Menurutnya, kawasan yang terkenal dengan dengan ‘port’ memancing dan merakit itu perlu dikekalkan nilai-nilai tradisional sebagai tarikan pelancong-pelancong untuk berkunjung ke Sungai Layau.
“Kalau dilihat daripada Ikhtiar BN semalam, memang ada bantuan-bantuan dan insentif yang akan disediakan BN dan saya akan ikuti apa yang telah direncanakan untuk memasarkan Penawar,” tambahnya lagi.
BN melancarkan Ikhtiar BN Johor bagi PRN Johor pada 1 Mac, dan menggariskan lima teras utama, dimana salah satunya adalah kemajuan ekonomi, yang menjadi fokus utama Fauziah. – MalaysiaGazette