JOHOR BAHRU – Harapan semua penggundi di Johor dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti adalah sama walaupun cara bersolat dan beragama antara satu sama lain adalah berbeza.
Justeru calon DAP DUN Perling Liew Chin Tong berkata, politik di negara ini memerlukan lonjakan baharu yang boleh ditawarkan oleh Pakatan Harapan(PH) kepada rakyat Johor.
“Politik lama menggunakan kaum sebagai asas tetapi sebenarnya kalau kita fikir memang antara kita mungkin cara kita solat, cara beragama berbeza. Mungkin bahasa dan latarbelakang kita berbeza. Tetapi sebenarnya apabila kita bersolat dengan cara yang berbeza apa yang kita harapkan adalah hampir sama.
“Kita doakan keselamatan, kita doakan ada makanan untuk keluarga. Jangan keluarga kita lapar. Kita doakan ada pekerjaan yang baik. Ada gaji yang berpatutan.
“Kita harap kehidupan lebih selesa. Kita harap tidak ada banjir ataupun kemalangan. Kita harap air kita bersih. Semua kehidupan kita hampir sama. Keinginan kita hampir sama. Destinasi kita hampir sama,” katanya dalam ceramah perdana Pakatan Harapan dan Muda malam tadi.
Ceramah tersebut diadakan di hadapan Pusat Khidmat Amanah DUN Kota Iskandar di Taman Mutiara Rini yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berharap pengundi Johor menolak mana-mana parti yang memainkan isu perkauman dalam pilihan raya itu.
“Semangat Pakatan Harapan ialah untuk mewujudkan suasana negara yang bersatu. Saya harap kita boleh menunjuk kepada rakyat pada 12 Mac bahawa sesiapa yang mainkan isu perkauman dia tidak akan diberikan sokongan.
“Apa yang kita perlu buat dalam PRN ini ialah membahaskan isu dasar. Meneliti apa yang mereka tawarkan dan apa yang kami tawarkan supaya rakyat membuat pilihan yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette